Thursday, May 20, 2010

Iman Ibarat Lalat



Saya masih ingat kata-kata seorang sahabat yang telah membuat saya berfikir akan kebenaran kata-kata tersebut. Beliau berkata: 

“Zaman sekarang ni, Iman itu ibarat seekor lalat. Hinggap sahaja pada badan langsung ditepis dan dibersihkan” 

Apa sebenarnya yang ingin disampaikan oleh sahabat tersebut? Kenapakah disamakan Iman dengan lalat? 

Dewasa ini kalau kita lihat lebih ramai orang tertarik dengan hiburan-hiburan yang dihidangkan sama ada melalui media massa maupun dunia realitinya. Lihat sahajalah dalam kaca televisyen maupun majalah-majalah dan surat khabar, penuh dengan cerita-cerita hiburan mahupun cerita-cerita yang berlingkar mengenai kehidupan seorang artis. 

Namun jika terbitnya cerita-cerita, tayangan-tayangan ataupun artikel berkenaan dengan Islam. Sudah pasti ianya tidak mendapat tempat di hati penonton sepertimana rancangan-rancangan hiburan. 

Bahkan lebih parah lagi sekiranya terdapatnya tazkirah, ceramah ataupun apa sahaja pengisian tentang Islam, berlaku refleks yang begitu pantas untuk menghindarinya. Terus ditukar siaran televisyen ataupun radio ke siaran yang lain, terus diselak majalah ataupun surat khabar ke muka surat yang lain. 

Inilah yang diibaratkan Iman itu ibarat lalat. Baru sahaja hidayah mahu hinggap dalam hati terus ditepis hidayah tersebut. Seakan-akan hidayah tersebut ibarat lalat ataupun najis yang hinggap di badan. 

Ya memang hidayah itu milik Allah, namun jika kita tidak mencarinya maka kita tidak mungkin menemui hidayah tersebut. Analoginya ibarat Son Goku yang mencari mutiara naga. Mutiara naga 7 biji tersebut harus dicari dan pelbagai cabaran dan dugaan perlu ditempuhinya. 

Yang peliknya, manusia sering kali memberi jawapan “tak sampai seru lagi” apabila ditanya mengenai perubahan yang ingin dilakukan. Masakan mahu datang hidayah tersebut jika kita tidak mencarinya. Jangan tunggu hingga kita di’seru’ untuk menemui-Nya baru terhegeh-hegeh mencari islam. Sudah terhantuk baru terngadah. 

Jika kita soroti pengalaman-pengalaman mereka yang mendapat hidayah seperti Yusuf islam (Cat Steven), Wardina, serta ramai lagi artis-artis mahupun saintis-saintis yang telah manemui sinar islam dalam hidup mereka. Kesemua mereka mencari hidayah tersebut. Bukanlah ianya datang secara sekaligus. Mereka hanya diberi pencetus untuk perubahan. Langkah seterusnya merupakan usaha mereka untuk mendapat hidayah tersebut daripada Allah. 

Allah berfiraman dalan surah Ar-Ra’d ayat 11, maksudnya: 
“Allah tidak mengubah sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri melakukan perubahan tersebut” 

Oleh itu para sahabat yang dikasihi sekalian, jika kita telah dibukakan pintu hidayah tersebut. Maka janganlah kita sendiri yang menutupinya serta menghalangnya, seharusnya kita mendekatinya untuk mendapatnya. Jangan dijadikan Iman itu ibarat lalat dalam hidup kita. WAllahua’lam. 

2 comments:

Anonymous said...

salam...
peringatan yg baik....
iman kan tasdiq dgan hati, ikrar dgan lidah dan amal dgan tubuh bdn..
iman manusia jg sntiasa naik dan turun..
entri mcm ne ringan tp bwa maksud yg dlm...
syukran... jzkk khairan...

Muhammad Farhan Aminudin said...

Betul cakap insan di atas..
Sekadar peringatan utk dr jugak...