Thursday, December 2, 2010

Menyingkap Jendela Kemboja 2 (Perjumpaan Pertama)

Perjumpaan pertama diadakan di bilik mesyuarat Censerve. Aku datang agak lambat sedikit, mujur mesyuarat belum dimulakan lagi. Beberapa muka yang agak biasa dilihat turut berada di situ. Hatiku mula tertanya-tanya sama ada mereka akan pergi juga ataupun tidak. Razali sampai setelah selesai solat isya’, dia menyuruh semua peserta untuk masuk ke bilik mesyuarat. Mesyuarat tidak dimulakan lagi bagi menunggu beberapa peserta yang masih dalam perjalanan. Antara muka-muka yang aku kenal berada di bilik tersebut ialah asyraf (Inspire/Gemilang), Umar (Inspire), Syah (Titian Wahyu) dan Wani (Steadfast). Yang lain ada juga yang kenal, tapi setakat kenal muka sahaja.

Mesyuarat dimulakan oleh Razali (Jali). Dia menerangkan mengenai misi ini yakni tentang tarikh, tempat yang dituju, berapa jumlah peserta yang akan terlibat dan beberapa lagi maklumat penting tentang perjalanan program. Menurutnya program ini akan disertai oleh 9 orang mahasiswa, 6 orang mahasiswi, 2 pegawai Censerve dan 2 orang doktor. Sementara menunggu ibu (Mdm Martinelli) tiba, kami mengadakan sesi taaruf.

Jasmine – Misi
Farhana – Comrade
Hidayah – Akhi
Atikah – Jasa  
Syazwani – Steadfast
Ilyana – Sendi
Ikhmal – Akhi
Razi – Titian Asli
Asyraf – Gemilang/Inspire
Umar – Inspire
Farhan – Inspire
Syahril – Titian Wahyu
Safwan – Jasa
Usman – Misi
Ammar – JKQ

Namun Syahril Azfar tidak dapat mengikuti misi kali ini disebabkan terikat dengan kerja barunya di RHB Bank. Tempatnya digantikan oleh Qasimdaripada PBSM dan ditambah dengan 2 lagi wakil PBSM yaitu Syuhada dan Nadrah. Manakala Ibu dan Jali akan mewakili pegawai Censerve. Wakil daripada Klinik UIA terdiri daripada 2 orang Doktor iaitu Dr Dinon dan Dr Soep serta seorang Pembantu Perubatan saudara Zulkifli. Misi ini juga disertai oleh 2 orang pegawai Perhubungan Awam UIA iaitu En Azman sebagai jurugambar dan En Roslan selaku wartawan. Tidak dilupan penyeri program adik Arifin dan Maisarah yang merupakan anak kepada Dr Dinon dan Dr Soep. Jadi boleh dikatakan misi kali ini  agak unik dengan kepelbagaian latar belakang dan umur yang berbeza.

Sebaik sahaja selesai taaruf Ibu datang dan kedatangannya memang ditunggu-tunggu oleh kami yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang suasana di Kemboja memandangkan hanya Ibu sahaja yang mempunyai pengalaman menyertai misi ke Kemboja.

Ibu memulakan bicaranya dengan senyuman sambil bertanyakan tentang kehadiran para peserta ke meeting tersebut. Hanya Safwan dan Ilyana yang tidak dapat hadir atas urusan yang tidak dapat dielakkan. Ibu mula menerangkan kepada kami suasana di Kemboja. Menurut Ibu, kami tidak boleh mengharapkan satu keadaan yang selesa di sana memandangkan keadaan di sana yang berdebu, sampah sarap yang tidak teratur, sungai yang tercemar dan keadaan tempat tinggal yang tidak sempurna namun masih selesa. Menurut Ibu kami akan bertolak dari Kuala Lumpur ke Siem Reap dengan menaiki Air Asia pada jam 6.30 pagi. Jadi kami semua harus tidur di Censerve pada malam sebelumnya bagi memastikan tidak ada yang terlewat maupun tercicir di Malaysia.

Setibanya di Siem Reap kami akan terus bergerak ke Battambang dan tinggal di kampong Dam Sabai. Kaum hawa akan menetap di rumah Hj Musa dan kaum adam akan menetap di rumah Allah. Ibu memberitahu bahawa semua kelengkapan asas mencukupi di tempat tinggal kami, Cuma air sungai yang digunakan agak kotor memandangkan sungai tidak dijaga dengan baik. Ibu menasihatkan agar kami tidak menggunakan air paip sebagai air minuman, untuk kegunaan memasak dan memberus gigi. Kami akan membeli air mineral sebagai alternatif kepada air tersebut.

Mengikut perancangannya, kami akan mengadakan majlis berkhatan serta menyerahkan sumbangan telekung, set jenerator dan perigi. Ibu mengharapkan agar sumbangan dapat disalurkan memandangkan Ibu ada berjanji dengan sebuah kampong di sana untuk memberikan telekung dan set jenerator. Maka tabung derma akan diletakkan di masjid pada setiap jumaat bagi mengutip sebanyak mungkin sumbangan daripada orang ramai. Ibu tidak mahu membebankan kami semua memandangkan ketika itu kami masih lagi dalam waktu peperiksaan.

Perjumpaan tersebut tidak terlampau lama kerana banyak perkara sudah diselesaikan oleh pihak Censerve, Cuma ibu berharap agar kami bersedia dari segi fizikal dan mental bagi menghadapi cabaran di sana. Mendengar semua penjelasan yang diberikan, hati ini semakin bersemangat untuk pergi ke sana, tapi tumpuan harus diberikan untuk pelajaran terlebih dahulu memandangkan itulah keutamaan kami sebagai mahasiswa. Namun harus diingatkan pelajaran dan kerja da’wah itu tiada no satu dan dua. Kedua-duanya harus digerakkan serentak, Cuma kita harus pandai mengimbanginya.

Bersambung…

0 comments: