Saturday, February 19, 2011

Kenapa harus berperasangka ?

Alangkah indahnya melihat persaudaraan yang ditunjukkan oleh para sahabat ketika berlakunya peristiwa hijrah. Melihat bagaimana kaum Aus dn Khazraj boleh melupakan sengketa lama atas dasar aqidah yang satu. Ditambah pula dengan kesediaan kaum Ansar menerima saudara mereka daripada kalangan Muhajirin. Penuh dengan kasih sayang dan keikhlasan.

Baru-baru ini dunia digemparkan pula dengan kebangkitan umat Islam. Bermula dengan kebangkitan di Tunisia, kemudian diikuti oleh mesir dan negara-negara lain. Inilah buktinya pentingnya perpaduan ummah. Lihatlah kuasa penyatuan ini yang bisa meruntuhkan kerajaan kuku besi. Segala kesulitan, cabaran, dugaan tidak sedikit pun melemahkan mereka. Bahkan mereka menjadi semakin kuat dan menggerunkan.

Namun kadang-kadang kita terlupa akan kepentingan penyatuan ini. Perbezaan antara kita lebih suka dilihat dan diketengahkan berbanding dengan persamaan yang ada. Terdapat banyak golongan yang terlibat dalam usaha menyebarkan da'wah di atas muka bumi ini. Saya yakin dan percaya setiap gerakan ini perlu dan setiapnya memberi impak yang tersendiri dalam gerakan da'wah. Oleh itu amat penting untuk tidak memperlecehkan mana-mana golongan yang ada.

Kadang-kadang kita tidak sedar tindakan kita itu seakan meremehkan golongan yang lain. Seakan-akan menunjukkan kitalah pejuang yang sebenar. Kitalah yang paling Ikhlas dalam memperjuangkan syariat Allah ini. Sering kali kita mendengar keluhan-keluhan sahabat kita tentang sahabat yang lain, sedangkan keduanya berjuang atas tujuan yang sama yakni mengangkat agama Islam ke taham yang paling tinggi.

Amat mudah kepada kita untuk melontarkan kata-kata untuk mengatakan kelemahan pihak lain, namun amat berat tulang-tulang kita untuk membantu mereka. Mudah sahaja jawapan kita, ‘saya ada tugas saya sendiri” yang bisa diungkapkan dalam pelbagai versi dan cara. Apakah mungkin Islam itu tertegak tanpa ada usaha bantu membantu antara satu sama lain. Kita sanggup bergadai apa sahaja bagi membantu sahabat dalam kumpulan yang sama, namun kita tak sanggup pula untuk membantu mereka yang berada dalam kumpulan yang lain.

Adakah membantu mereka dalam kumpulan yang berbeza namun mempunyai matlamat yang sama itu tidak perlu? Adakah mereka bukan saudara kita? Sering kali kita dengar ceramah maupun tazkirah bahawa “Tidak beriman seseorang kamu selagi dia tidak menyintai saudaranya seperti mana ia menyintai dirinya sediri” (hadith). Adakah hadith ini terbatas hanya dalam kumpulan kita?

Bahkan apabila golongan yang satu lagi melakukan sesuatu yang salah, kitalah orang yang pertama yang akan menghentamnya. Kadangkala apa yang kita sangkakan itu tidak benar. Sedap sahaja kita memberi pendapat dan ‘fatwa’ tanpa melakukan selidik dahulu. “Aku dah boleh tau apa yang mereka nak buat”, “Aku kenal sangat lah derang ni”, begitu dan begini tanpa usul periksa. Jangan disamakan setiap orang berbeza. Bukankah kita diajar dalam surah al-hujurat untuk menyelidik dahulu fakta sebelum kita mengambil apa-apa tindakan.

Mungkin mereka ada juga melakukan kesilapan. Itulah tugas kita sesama Muslim untuk menegur antara satu sama lain. Ini tidak, hanya berani berkata dalam kalangan kumpulan kita. Mengatakan keburukan mereka di belakang mereka. Adakah ianya bukan termasuk dalam mengumpat? Sanggupkah kita memakan daging sahabat kita di akhirat kelak? Jika mereka salah, perbetulkan mereka. Jangan pandai ‘mengomen’ di belakang. Bincanglah dengan cara yang penuh hikmah dan berilmu. Jangan cakap berdegar-degar tanpa fakta.


Sangat benar apa yang dikatakan oleh senior kita. Dalam ummat Islam sekarang telah hilang dua permata berharga. “Kasih saying dan Hikmah”.