Thursday, July 28, 2011

Berakhirnya Sinar Sang Mutiara (Tribute to Mama, Dr Lo'lo' binti Mohd Ghazali)

Suasana hening bersulamkan alunan ayat suci Al-qur’an memenuhi segenap bilik Mama. Satu hari Ahad  yang penuh barakah itu. Nisfu sya’ban merupakan salah satu hari yang istimewa kerana pada hari itu buku amalam setiap anak Adam dan digantikan dengan buku yang baru. Sanak saudara bergantian masuk untuk melihat perkembangan dan membacakan surah yasin sepertimana yang diajar oleh Rasulullah. Babah tidak putus bertalkin di sebalah mama. Meskipun terpancar keletihan di muka, namun Babah terus tabah dan bersungguh-sungguh membacakan talkin untuk mama. Bukannya sekejap, sudah tiga hari Babah begitu. Meskipun kami adik beradik mengambil giliran utk meneruskan bacaan talkin bagi memberi rehat kepada Babah, namun Babah hanya mengambil masa rehat yang sekejap dan meneruskan talkin bersama-sama kami. Sungguh kuat jalinan percintaan antara Mama dan Babah. 30 tahun melayari bahtera perkahwinan yang penuh dengan cabaran dan rintangan menyebabkan cinta yang terjalin menjadi utuh dan erat. Babah memang seorang suami yang setia dan merupakan watak yang paling penting disebalik kejayaan Mama.

Kedatangan saudara mara baik yang dekat mahupun yang jauh memberi kami kekuatan untuk mengharungi detik-detik sukar. Kami adik beradik tidak berganjak untuk kekal berada di sekeliling mama. Timbul rasa kasihan melihat Chor dan Kak Fizah yang sarat mengandung namun tetap cekal membacakan yasin untuk mama. Bukan mudah untuk mereka duduk lama dalam keadaan sebegitu. Kadangkala melihat mereka mengurut-ngurut pinggang disebabkan duduk terlalu lama. Namun mereka tidak rela berehat melihat keadaan Mama begitu. Samalah juga dengan Inah, Abang dan Aku. Kami bergilir berada di sisi Mama, memegang erat tangan lembut seorang ibu yang telah banyak berkorban demi mendidik anak-anaknya. Meskipun Mama sibuk dengan tugasan hariannya, namun Mama tidak pernah lupa tanggungjawabnya sebagai ibu. Sering kali Mama meluangkan masa-masa berkualiti bersama kami. Sama ada meluangkan masa dalam percutian ataupun aktiviti-aktiviti di rumah. Memang menjadi kegemaran mama untuk menyediakan juadah istimewa kepada kami sekeluarga apabila mama mempunyai masa terluang. Pelbagai resipi dicuba oleh mama, namun kami tidak pernah kecewa dengan hasil air tangan mama. Meskipun juadah itu kadang kala tidak sempurna, namun kasih sayang dan keikhlasan mama menyerap dalam makanan menyebabkan setiap kunyahan merasakan satu kenikmatan yang sempurna.

Namun hari ini, Mama terbaring lemah di hadapan kami. Kami sedar mungkin inilah saat-saat terakhir kami untuk bersama dengan Mama. Semua tugasan atau tanggungjawab lain ditinggalkan demi menghabiskan masa bersama Mama tercinta. Pagi tadi berlangsungnya Program Sinergi Keluarga anjuran Nisa’ Titiwangsa dibawah kendalian Ustaz Hasrizal. Tungkus lumus Kak Fizah mengadakan persiapan untuk program ini yang juga merupakan salah satu hasrat terakhir Mama. Meskipun dalam keadaan terbaring tanpa ada daya fizikal, namun Mama tidak pernah lupa tanggungjawabnya pada masyarakat. Sering kali Mama meluahkan kerisauannya terhadapanya rakyat di Titiwangsa apabila diziarahi pelawat. Mama khuatir tiada sumbangan yang dapat diberikan kepada rakyat apabila menjelangnya Ramadhan dan Syawal memandangkan wang simpanan dalam bank yang semakin haus. Hanya ratusan ringgit yang tinggal sedangkan bantuan dan sumbangan memerlukan ribuan ringgit untuk disalurkan. Menitis air mata Mama mengenangkan kesusahan rakyat di Titiwangsa walaupun hidup dalam bandar Kuala Lumpur yang sarat dengan kemajuan.

Tidak tertahan melihat keadaan Mama terbaring lemah terutama apabila melihat linangan air mata adik beradik Mama yang setia berada di Hospital. Mama memang watak yang penting dalam keluarga. Mama tidak pernah lokek membantu adik beradiknya yang dalam kesusahan. Apabila pulang ke kampung, ada   sahaja kerja yang hendak dilakukan. Mama akan memastikan setiap tenaga yang ada digunakan untuk menceriakan rumah Opah. Mama tetap dengan kerjanya memberikan perhatian kepada Opah terhadap tahap kesihatannya. Antara kerja lain yang menjadi pilihan utama mama adalah menggubah semula bunga-bunga hiasan dalam rumah. Mama memang pakar dalam hal ini. Ketika majlis-majlis perkahwinan saudara-mara, tak perlu mengupah orang lain untuk menggubah bunga. Hasih gubahan mama memang ada kelasnya yang tersendiri. Di samping itu Mama juga akan memastikan sanak saudara untuk turut serta dalam solat berjemaah, sama ada di rumah ataupun di Masjid. Suara Mama pasti menjadi suara utama di rumah Opah. Mama memang unik.

Semakin ramai sanak saudara yang tiba di Hospital memandangkan keadaan Mama yang semakin tenat. Kunjungan pelawat juga tidak putus-putus untuk menziarahi Mama. Namun tidak semua yang dibenarkan masuk atas keadaan Mama yang tidak mengizinkan. Namun yang pasti, semua yang masuk akan mengalirkan air mata melihat keadaan Mama yang lemah. Satu keadaan yang sangat berbeza dengan Mama yang dikenali ramai. Mama memang terkenal dengan tenaga yang luar biasa. Tercungap-cungap dibuatnya bagi mereka yang tidak biasa dengan rentak Mama. Meskipun dua tahun lebih Mama diduga dengan penyakit Kanser, namun tidak ramai yang tahu. Mama sentiasa siap berkhidmat. Namun penderitaannya bukannya mudah, bukan calang-calang manusia mampu menghadapinya. Mama memng insan luar biasa. Akan tetapi sebak rasanya melihat sahabat-sahabat Mama yang datang menziarahi Mama menceritakan rasa sedih mereka pada kami. Semuanya ibarat masih baru dan segar dalam ingatan.

Menjelang Maghrib, keadaan Mama semakin tidak stabil. Berkerumun kami sekeluarga di sisi Mama membacakan Talkin di telinga mama. Sanak saudara terus mengalunkan surah yasin baik daripada dalam bilik ataupun di luar bilik. Tidak senggup rasanya untuk meninggalkan mama pada saat-saat begini. Tangan mama ku genggam erat. Kadangkala kami membisikkan kata-kata terakhir kami kepada Mama dengan harapan Mama mendengarnya. Namun bacaan talkin tidak pernah putus kedengaran. Meskipun dalam keadaan genting begitu, kami masing-masing mengambil giliran untuk menunaikan tanggungjawab kami kepada Sang Pencipta. Gugur air mata kami merayu agar Allah memberi kesudahan yang terbaik kepada Mama. Sesuangguhnya tiada lagi tempat untuk bergantung selain daripadaNya. Kami yakin Mama merupakan hamba yang dikasihiNya.

Masa semakin berlalu, keadaan Mama semakin kritikal. Tekanan darah, kadar oksigen dan nadi Mama turun sedikit demi sedikit. Kehilangan Mama sudah terbayang menjadikan keadaan menjadi lebih sayu buat kami. Satu demi satu alat perubatan ditanggalkan demi memberikan keselesaan terakhir buat Mama. Aku mengambil kesempatan untuk memberikan kucupan terakhir buat mama. Sungguh lembut dan wangi keadaan Mama ketika itu. Mama kelihtan semakin tenang di saat akhir kehidupannya. Sungguh mudah Mama mengakhiri hidupnya. Tidak tersedar oleh yang lainnya melainkan Babah dan aku yang berada dekat di kepala Mama. Kami menyaksikan lidah Mama bergerak buat kali terakhirnya seakan memberikan persaksian terakhir terhadap Allah. Tiba-tiba petunjuk keadaan Mama naik secara mendadak sedangkan tiada lagi pergerakan kelihatan. Inah membuat pemeriksaan terakhir sebagai kepastian. Runtuh jiwanya apbila pasti Mama sudah tiada lagi. Aku sudah menggelengkan kepala sebagai tanda kepada yang lainnya. Hanya ucapan Inna Lillahi wa Inna Ilaihi Raji’un yang mampu ku ucapkan. Sesungguhnya kami Milik Allah dan kepadaNya jua kami kembali. Sekitar 10.13 malam Mama pergi bertemu dengan Tuhan yang Maha Menyayangi  dengan buku amalan baru yang suci.

Doktor dan jururawat dipanggil sebagai prosedur memberi pengesahan terakhir. Babah memejamkan mata Mama namun tidak tertutup rapat kerana jangkitan pada mata Mama. Namun setelah mendapat pengesahan doktor. Mata mama seakan tutup sendiri, mulutnya juga begitu. Tidak perlu diikat dagu Mama  seperti yang lazim dilakukan. Semuanya seakan berlaku sendiri. Jenazah Mama disiapkan untuk dibawa pergi ke Masjid. Babah dan Abang sibuk menghubungi pihak yang berkaitan untuk memudahkan urusan jenazah Mama. Berita mula disebarkan melaui rangkaian telefon dan juga internet. Orang ramai mula hadir ke hospital untuk menghulurkan bantuan. Semuanya mudah dan lancar. Jenazah Mama dibawa masuk ke dalam van jenazah yang sudah tersedia di luar bilik mayat. Kawasan di situ penuh dengan orang ramai yang datang. Baru ku sedar keadaan di luar basah kerana hujan yang turun seakan menangisi pemergiaan Mama. Hanya rangkap-rangkap doa dapat ku ucapkan apabila menemani Jenazah Mama hingga ke Masjid Akram. Beberapa kereta dan motor turut serta menyertai konvoi kami.

Setibanya kami di Masjid, kami disambut oleh orang ramai yang sudah menunggu ketibaan Jenazah Mama. Seakan menunggu tibanya seorang wira. Jenazah Mama diletakkan dalam dewan serbaguna Masjid sementara menunggu pagi untuk pengurusan seterusnya. Pelbagai lapisan masyarakat hadir tanpa mengira kaum dan agama. Semuanya menangisi pemergian sebutir Permata yang telah banyak berjasa untuk Islam dan masyarakat. Salah seorang daripada hadirin yang berbangsa Tiong Hua memeluk Wan Ju (adik Mama) yang dikatanya mirip Mama sambil menyatakan sumbangan Mama kepadanya dalam keadaan tersedu. Ternyata Mama telah berkhidmat tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama. Buktinya dewan tidak pernah kosng dengan kehadiran orang ramai yang datang mengalunkan Kalimah suci Allah. Aku menemani jenazah Mama hingga waktu pagi.

Pagi Isnin bersamaan 16 Sya’ban, Orang ramai mula memenuhi masjid bagi menziarahi Jenazah Mama. Jenazah Mama dibawa ke bilik mandi untuk diuruskan oleh adik beradik dan keluarga. Maha Suci Allah, tubuh Mama suci dari segala jenis kekotoran. Segalanya mudah, cepat dan lancar. Selesai dimandikan dan dikafankan, Satu lagi petanda ditunjukkan Allah. Mama kelihatan tersenyum. Sungguh menyejukkan mata yang memandang.  Kami anak beranak memberi kucupan terakhir kepada Jenazah Mama sebelum Jenazah dibawa keluar. Bergolaklah kesedihan dalam diri. Biarpun di luar nmpak tenang, tiada siapa tahu kesedihan hati ku ini. Namun kucupan diberikan buat kali terakhir tanda perpisahan seorang anak terhadap bonda yang tercinta. Satu-satunya ratu dalam jiwa. Hatiku pasrah.

Jenazah diletakkan di bahagian belakang masjid bagi memberi laluan kepada orang ramai untuk melihat Mama buat kali terakhir. Ratusan malah mungkin ribuan bergilir memberi penghormatan terakhir buat Mama. Aku mengulang-ulang doa agar menjadi ikutan hadirin yang lalu melihat Jenazah Mama. Berguguran air mata apabila sahabat mama memberi kucupan terakhir buat mama. Berderai jiwa melihat cucu kesayangan Mama, Izz Nu’man memberi ciuman penuh semangat seakan mehu mengejutkan jaddahnya yang disangkanya ‘tidur’. Saat yang menyayat hati semua yang melihat. Tiba masa yang ditetapkan, Jenazah dibawa ke bahagian depan masjid untuk disolatkan. Tuan Guru Dato’ Seri Hadi Awang mengimamkan solat, ribuan Muslim turut serta. Penuh bahagian bawah Masjid dengan hadirin yang hadir.

Selesai solat dan doa, Jenazah dibawa keluar mebelah lautan manusia untuk dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat. Buat pertama kalinya dalam sejarah, jenazah diusung berarak daripada Masjid ke tanah perkuburan. Ribuan hadirin turut serta hingga ke tanah perkuburan. Dikatakan oleh salah seorang yang hadir, ada segumpal awan yang turut mengikuti jenazah seakan memberi payungan kepada mereka yang hadir. Aku, Abang dan Babah berada dalam liang lahad untuk meletakkan Jenazah Mama ke dalam kubur. Sungguh ringan dirasakan saat Jenazah dihulur dan diletakkan dalam lahad. Setelah tanah memenuhi lahad, doa dan tazkirah dibacakan oleh Tuan Guru Dato’ Seri Hadi Awang. Maka berakhirlah sebuah kisah seorang anak, isteri, ibu, adik, kakak, sahabat, doktor, pempimpin, pejuang yang telah pergi menemui Ilahi. Satu kehilangan yang sukar diganti. Kerana Mama setanding namanya. Sebutir Permata yang tak mungkin pudar dalam ingatan.

Bagi pihak keluarga kami memohon maaf atas segala kesalahan Arwah terhadap semua. Andai ada urusan yang masih belum selesai, bolehlah menghubungi pihak keluarga untuk diselesaikan. Kami juga mengucapkan Jutaan Terima Kasih buat sanak saudara, dan sahabat-sahabt sekalian atas bantuan, sokongan dan doa yang diberikan. Semoga Allah membalas jasa kalian.

"Ya Allah. Sesungguhnya kami redha bonda kami Lo'lo' bt Mohd Ghazali di bawah jagaan-Mu. Kerana tiada jagaan lebih baik daripada jagaan Mu. Maka ya Allah, Kami memohon agar kau lipat gandakan kebaikan yang dibuatnya dan hapuskan segala kesalahannya. Kau masukkan lah bonda kami dalam syurgaMu dan jauhkannya daripada azab kubur dan api neraka. Kasihanilah bonda kami sebagaimana dia mengasihani kami. Sesungguhnya Engkau Maha Penyayang lagi Maha Mendengar"

15 comments:

Sakinah said...

Mama..…rindu semakin terasa

Abdul Rahman Mustaffa said...

SubhanAllah.. Permata yang sukar dicari ganti... semoga beliau bersama dikalangan orang2 yang beriman

naufal_nasir said...

wan wok selalunya selalu tegur apai lau mkn byk... sekarang dah x de lg dah... rase windu pulak nak dgr wan wok tegur lg..

UknoWana said...

Dr.Lo'Lo' pernah komen d status FB "Tiada Istilah bosan dlm kamus MUSLIM" bla tringat itu, kdg2 jd malu dgn diri sndiri.. Al- Fatihah buat arwah.

Ruslan Rusly said...

sabar ye farhan...

qurratu'aini said...

Allahumma firghlaha warhamha... W. Wok mmg seorg yg kuat semangat, x mudah putus asa n sungguh2 dlm m'jayakan something.. Insya'Allah aini akan ikut sifat2 dia tu..

MofiR said...

Ibu angkatku seorang yang tegas dan sangat penyayang, semoga Allah merahmati mamaku Lo'lo' bt Mohd Ghazali dan ditempatkan bersama mereka2 yang beramal soleh.

اللهم اغفر لها وارحمها وعافها واعف عنها

Nama pena, Puteri Nur Cahaya @ Cikgu iEta. Suri rumah sepenuh masa. Penulis Lifestyle Blogger berpengalaman Social Media Marketing Coach. said...

Bersabarlah, sungguhpun bersedih. Saya pun sedih gak....coz dh bertahun xjumpa,last jumpa ms wat program brsm. Tup2 Allah lbh menyayanginya

ctais08 said...

Farhan, berbahagialah ibu mu di sana... wajah n senyum se orang mujahidah ... mantap...contoh utk lawan dan kawan

Muhammad Farhan Aminudin said...

Amiin.. Ya Allah pertemukanlah kami dlm Syurga Firdaus Mu

fana said...

Sy tahu bag farhan seorg yg sgt tabah! =)

Raihan Mahmood said...

Perkongsian yg sungguh menyentuh hati.

Perginya seorang permata yg sukar dicari, namun kehadirannya masih lagi dirasai, Semangatnya menjadi inspirasi. Dr Lo' Lo memang tiada ganti.

Moga rohnya ditempatkan dikalangan para solihin.Al-fatihah.

oh ya, moga kamu dan keluarga tabah. Tak perlu risau, malah berbangga lah dengan beliau:)

H A N said...

Sayu hati baca entry ni. Sungguh, bukan calang2 arwah Mama saudara. Semua memang mengenali dia sebagai Mutiara. InsyaAllah, legasi p'juangannya akan terus b'jalan, akan disambung oleh mereka2 yg telah Allah pilih... InsyaAllah...

Akak Coway said...

Moga syurga tertinggi buat arwah. Al-fatihah. terkenangkan bagaimana pula saat kita pergi nanti. YaAllah mudahkanlah. mudahkanlah.

Kisah Cikgu ieta said...

Farhan, teruskan usaha dakwah ibumu