Monday, October 10, 2011

Kejayaanku Buat Mama

25 tahun dalam kenangan,
Rindu yang tidak mungkin pudar,
Sering di sisiku di sepanjang perjalanan,
Tidak kenal erti penat dan lelah.

Kata-katamu pengukuh jiwa,
kau papahku di kala ku rebah,
kau pimpinku di kala aku berhenti,
kehilangan mu amat ku rasai.

Tidak terbalas jasamu,
Kau korbankan dirimu agar aku bahagia,
Doamu tidak pernah putus,
Agar kami anak mu berjaya.

Kini, anakmu menggengam segulung ijazah,
Memikul segunung amanah,
Untuk terus menumbang pada ummah,
Agar tertegaknya kalimah LailahaillAllah.

Aku berjanji aku takkan menyerah,
Tunggu aku Mama,
Benarkan berkhidmat di sini,
Sebelum bertemu di syurga Ilahi.

Mama tetap di jiwa
Dalam raga anakanda,
Mengalir di seganab tubuh,
Menjadi inspirasi melangkah ke depan.

Dari jauh ku titip salam dan doa
Teruntuk Mamaku tercinta,
Semoga Kau terus bahagia,
Dalam jagaan yang Maha Esa.

Saturday, October 8, 2011

Ingatan Buat Sahabat...

Sahabat ibarat angin,
Menjadi kebutuhan setiap saat,
Agar nadi terus berdenyut,
Untuk terus melangkah ke depan.

Hidup penuh onak dan duri,
Namun kau terus tegak berdiri,
Membantu aku untuk terus berlari,
Agar impian menjadi realiti.

Di kala ku sedih, kaulah penghibur,
Di saat ku lelah, kaulah kekuatan,
Tangan kau hulur dengan senyuman,
Ikhlas membantu tanpa balasan.

Tatkala kita membina memori,
Sudah pasti ada yg terluka,
Tidak semua sempurna,
Sejuta kemaafan dipohon dan dipinta,
Jangan biar ia terus menjadi luka,
Hanya sekadar pengalaman yang mendewasakan kita.

Namun sahabat,
Jalan kita tak mungkin sama,
Meskipun di hujungnya pastikan bertemu,
Di setiap langkah yang ku jejakkan,
Kau kan senantiasa dalam ingatan.

Ayuh sahabat,
teruskan langkah mu,
Ingat,
Kita adalah harapan,
Kita adalah masa depan,
Masa depan ada di tangan kita,
Harapan terbeban di bahu kita,
Nasib bangsa kita yang menentukan.

Selamat berjuang duhai sahabat,
Semoga persahabatan kekal dalam lagu kehidupan.

Farhan – Bukit keramat, 8/10/11 8.20 pagi

Monday, October 3, 2011

Penantian Bahagia

Masa ibarat merangkak,
Sesaat bak setahun lamanya,
Aku harus bertahan,
Kerana ku yakin permata itu amat berharga.

Ku harap,
Di saat ku buka jendela,
Angin menyapa membawa cinta,
Agar hati tenang dan bahagia.

Siang berganti malam,
Bahagia, sabar dan setia,
Aku akan tetap menantinya,
Hingga dirinya putuskan untuk tidak memilih diriku.


Oh tuhan,
Sesungguhnya akal ku terbatas,
Hatiku tidak jernih,
Maka aku pohon padaMu Pemilik Cinta,
Kau berilah apa yang terbaik untukku di sisi Mu

Farhan - Bukit Keramat 9:20pm

Saturday, September 17, 2011

Menyingkap Sejarah Kemerdekaan

Malaysia telah digemparkan dengan perbincangan yang hangat menginai dua istilah yang selama ini tidak pernah dibahaskan iaitu mengenai kemerdekaan dan penjajahan. Polemik ini tercetus apabila salah seorang ahli politik yang agak lantang, Mat Sabu mencetuskan persoalan mengenai status seorang lelaki yang bernama Mat Indera yang dikatakan seorang hero disebalik perjuangan kemerdekaan Negara. Namun bukanlah Mat Indera yang menjadi fokus penulisan saya pada kali ini.

Perbincangan kali ini lebih tertumpu kepada Sejarah kemerdekaan Malaysia. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka telah mendifinasikan Sejarah sebagai asal-usul, keturunan, salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau, kisah, riwayat, tambo, tawarikh dan kajian atau pengetahuan mengenai peristiwa yang telah berlaku. Manakala merdeka ditakrifkan sebagai sebagai (1) bebas daripada penjajahan, kurungan dan naungan; (2) lepas daripada tebusan dan tuntutan; (3) berdiri sendiri, tidak bergantung pada yang lain.

Al-Qur’an, Sirah dan Sultan Muhammad Al-Fateh

Antara kandungan utama Al-qur’an ialah menganai peristiwa-peristiwa yang telah berlaku sama ada di zaman Nabi Muhammad s.a.w mahupun sebelum kedatangan baginda. Semua peristiwa ini diceritakan kepada manusia agar manusia mengambil pengajaran terhadap apa yang telah berlaku kepada umat-umat sebelum mereka.

هَذَا بَيَانٌ لِّلنَّاسِ وَهُدًى وَمَوْعِظَةٌ لِّلْمُتَّقِينَ

(Al quran) ini adalah penerangan bagi seluruh manusia, dan petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa (Ali Imran:138)

Sultan Muhammad Al-Fateh merupakan contoh yang terbaik bagi menggambarkan peri pentingnya Sejarah itu diambil sebagai pengajaran. Beliau telah mengkaji setiap kegagalam dalam 11 kali cubaan menakluki Kota Konstantinopel sebelum beliau. Berdasarkan kajian-kajian inilah beliau merangka strategi untuk menawan koinstantinopel yang merangkumi aspek politik, ketenteraan, cuaca, geografi bumi, spiritual dan pelbagai faktor lagi. Hasilnya Kota Konstantinopel telah berjaya ditakluki pada bulan Mei 1453M.


Dijajah atau Dinaungi

Isu kemerdekaan ini semakin hangat dibincangkan apabila jurucakap Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Zainal Kling dalam sidang media berkata bahawa Tanah Melayu tidak pernah terjajah, sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British. Katanya, Tanah Melayu hanya terjajah selama dua tahun sewaktu pemerintah Malayan Union pada awal 1946 hingga akhir 1947 dan pada zaman penjajahan Jepun.

Hal ini sangat mengelirukan rakyat apabila seorang professor yang pakar dalam bidang sejarah tiba-tiba mengatakan bahawa Tanah melayu tidak dijajah sedangkan saban tahun kita meraikan sambutan kemerdekaan Negara. Tambahan pula kita telah diajar semenjak di bangku sekolah lagi bahawa Tanah Melayu pernah dijajah oleh British. Apakah benar kita hanya dinaungi dan bukannya dijajah? Ataupun ianya hanyalah perbezaan daripada segi istilah sedangkan hakikatnya ianya hanya membawa maksud yang sama.

Perbezaan Istilah

Pelbagai istilah dengan pelbagai maksud telah digunakan oleh British ketika pendudukannya di tanah asing. Istilah-istilah yang digunakan seperti:
 Tanah taklukan (dominions) – Australia
Tanah jajahan (crown colony) - Negeri-negeri Selat (Gabenor/Resident)
Tanah lindungan (protectorates) – Negeri-negeri bersekutu (Resident)
Kawasan yang diberi mandat (mandates) – Palestin
Lain-lain – Negeri-negeri tidak Bersekutu (Advisor)

Walau apa sekalipun istilah yang digunakan bagi menunjukkan pemerintahan British terhadap sesuatu kawasan dibawahnya, yang penting adalah kesan atau impak kedatangan British terhadap pentadbiran kawasan tersebut. Apa bezanya gabenor, residen ataupun penasihat jika apa sahaja kata-kata ataupun arahan British mesti dilaksanakan.

Kesilapan Belanda

Belanda telah melakukan kesilapan yang amat besar apabila meruntuhkan sama sekali sistem beraja di Indonesia apabila mereka menakluki Indonesia. Hal ini menyebabkan mereka mendapat tentangan yang begitu hebat di Indonesia.

Berbeza pula dengan British yang terlebih dahulu mendalami hati budi serta pemikiran orang Melayu sebelum menduduki Tanah melayu. British melihat bahawa kesilapan yang paling besar adalah mengganggu-gugat kedudukan raja-raja (Pantang Melayu derhaka pada sultan). Lalu mereka menekan raja-raja untuk tunduk kepada mereka tanpa mengambil alih kedudukan raja-raja di mata rakyat. Hal ini menyebabkan kurangnya penentangan kepada British bagi mengelakkan berlakunya penderhakaan terhadap raja-raja.

Pelbagai perjanjian dilakuakan dengan raja-raja bagi memastikan setiap arahan british dilaksanakan oleh raja-raja contohnya perjanjian British dengan Sultan Muhammad IV yang salah satu isi kandungannya mewajibkan Sultan melaksanakan semua nasihat yang diberi oleh British. Namun jika kita difikirkan semula, amatlah pelik apbila setiap nasihat ‘wajib’ dilaksanakan sedangkan ianya merupakan sebuah nasihat dan bukannya arahan.

 Disebalik Penentangan Tok Janggut

Apakah benar penentangan Tok janggut terhadap british didasari oleh tindakan british yang memungut cukai? Apakah disebabkan keengganan seorang rakyat jelata untuk membayar cukai menyebabkan mayatnya digantung selama 4 hari di depan istana? Namun inilah fakta yang boleh didapati dalam buku teks sejarah sekolah.

Hakikatnya penentangan Tok janggut dilakukan selepas Kadi Besar Turki di Istanbul mengisytiharkan perang kepada semua penjajah termasuklah British. Disebabkan gentarnya British terhadap tiupan semangat jihad dikalangan rakyat maka tindakan ini diambil harus diambil bagi menakutkan rakyat. Selain daripada itu british juga telah menawarkan 500 pound (nilainya ibarat puluhan ribu ringgit zaman sekarang) pada sesiapa yang dapat menangkap Tok Janggut hidup walau mati. Tawaran ini menarik minat sekolompok rakyat yang akhirnya melemahkan penentangan terhadap British.

Namun agak menghairankan mengapa seruan Kadi Besar Turki ini kurang mendapat sambutan di Kelantan yang terkenal dengan jolokan serambi Mekah. Sebenarnya ada beberapa kejadian yang menyebabkan seruan jihad tidak bertiup kencang.

Pertamanya, British telah mengeluarkan arahan pada Sultan untuk tidak menyokong seruan Kadi Besar Turki itu. Lalu DYMM sultan telah bertitah bahawasanya rakyat tidak boleh member sokongan kepada Kerajaan Uthmaniah. Mana-mana pihak yang menunjukkan kecenderungan akan ditangkap dan dihukum. Baginda juga mengarahkan agar didoakan kemenangan British terhadap Kerajaan Uthmaniah.

Keduanya, British telah mewar-warkan propaganda jahat terhadap kerajaan Uthmaniah. Disebabkan Kerajaan Uthmaniah telah bersekutu dengan Jerman menentang British, maka British telah membuat propaganda jahat yang menyatakan kononnya Jerman bakal menakluki Mekah. Hal ini menyebabkan ramai yang terpengaruh mendoakan kemenangan British. (Seakan-akan yang berlaku sekarang).

Gerakan Menuntut Kemerdekaan

Kebangkitan menuntut kemerdekaan bukanlah bermula setelah UMNO ditubuhkan. Proses ini telah lama diperjuangkan sebelum berkibarnya keris di ruang udara. Proses transformasi minda berlaku dengan penerbitan-penerbitan yang berjaya menggerakkan tuntutan kemerdekaan seperti penerbitan Al-Ikhwan oleh Syeikh Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin. Ianya juga dibantu dengan kebangkitan Kaum Muda yang mendapat semangat untuk memperjuangkan kemerdekan sekembalinya mereka dari timur tengah. Lalu wujudlah gerakan-gerakan yang lebih tersusun seperti API, SEDAR, AWAS dan Hizbul Muslimin.

Perjuangan menentang British juga dipelopori oleh Parti Komunis Malaya (PKM) yang lebih radikal. Fahaman Komunis ini wujud setelah golongan petani berjaya mengalahkan golongan pemodal pada tahun 1917 dan seterusnya menuntut kesama-rataan hak bagi setiap individu. Kebangkitan Komunis ini juga berkembang dengan lebih pesat setelah jatuhnya Khilafah Uthmaniah pada tahun 1924. Slogan kesamarataan yang didokong oleh pihak Komunis ini telah berjaya mendapatkan sokongan ramai pihak terutama golongan bawahan yang sering ditindas oleh golongan kapitalis.

Hubungan Golongan Berhaluan Kiri dengan PKM

Apabila darurat diumukan pada tahun 1948, ramai individu daripada kumpulan yang dikatakan berhaluan kiri ini lari ke hutan. Hal ini berlaku disebabkan beberapa perkara;-

1)         Semua organisasi yang dirasakan tidak selari dengan British telah diharamkan sama ada ianya berbentuk kesatuan sekerja, organisasi masyarakat atau politik ataupun penerbitan.
2)         Lebih seribu ulama’ ditangkap.
3)         Ganjaran yang amat lumayan agar tertangkapnya individu-individu tertentu.

Lalu tertubuhnya regimen ke-10 PKM yang hanya terdiri daripada kaum Melayu sahaja. Namun masih belum dapat dipastikan apakah bentuk kesefahaman yang dibuat oleh golongan ini dengan pihak PKM.

Kesimpulan

Sejarah itu tidak boleh dilihat dalam bentuk selektif dengan tujuan untuk menonjolkan pihak tertentu sahaja tanpa mengambil kira peranan pihak yang lain yang ternyata lebih besar berbanding dengan pihak yang ingin ditonjolkan. Ianya ibarat sebuah gambar yang diubah suai bagi meng’handsome’kan golongan tertentu yang sebenarnya tidaklah se’hansome’ mana dan dalam masa yang sama mengaburkan gambar-gambar individu tertentu. Malah lebih teruk jika sebahagian daripada gambar itu dihilangkan terus.

Ulasan daripada talk Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor.

Thursday, July 28, 2011

Berakhirnya Sinar Sang Mutiara (Tribute to Mama, Dr Lo'lo' binti Mohd Ghazali)

Suasana hening bersulamkan alunan ayat suci Al-qur’an memenuhi segenap bilik Mama. Satu hari Ahad  yang penuh barakah itu. Nisfu sya’ban merupakan salah satu hari yang istimewa kerana pada hari itu buku amalam setiap anak Adam dan digantikan dengan buku yang baru. Sanak saudara bergantian masuk untuk melihat perkembangan dan membacakan surah yasin sepertimana yang diajar oleh Rasulullah. Babah tidak putus bertalkin di sebalah mama. Meskipun terpancar keletihan di muka, namun Babah terus tabah dan bersungguh-sungguh membacakan talkin untuk mama. Bukannya sekejap, sudah tiga hari Babah begitu. Meskipun kami adik beradik mengambil giliran utk meneruskan bacaan talkin bagi memberi rehat kepada Babah, namun Babah hanya mengambil masa rehat yang sekejap dan meneruskan talkin bersama-sama kami. Sungguh kuat jalinan percintaan antara Mama dan Babah. 30 tahun melayari bahtera perkahwinan yang penuh dengan cabaran dan rintangan menyebabkan cinta yang terjalin menjadi utuh dan erat. Babah memang seorang suami yang setia dan merupakan watak yang paling penting disebalik kejayaan Mama.

Kedatangan saudara mara baik yang dekat mahupun yang jauh memberi kami kekuatan untuk mengharungi detik-detik sukar. Kami adik beradik tidak berganjak untuk kekal berada di sekeliling mama. Timbul rasa kasihan melihat Chor dan Kak Fizah yang sarat mengandung namun tetap cekal membacakan yasin untuk mama. Bukan mudah untuk mereka duduk lama dalam keadaan sebegitu. Kadangkala melihat mereka mengurut-ngurut pinggang disebabkan duduk terlalu lama. Namun mereka tidak rela berehat melihat keadaan Mama begitu. Samalah juga dengan Inah, Abang dan Aku. Kami bergilir berada di sisi Mama, memegang erat tangan lembut seorang ibu yang telah banyak berkorban demi mendidik anak-anaknya. Meskipun Mama sibuk dengan tugasan hariannya, namun Mama tidak pernah lupa tanggungjawabnya sebagai ibu. Sering kali Mama meluangkan masa-masa berkualiti bersama kami. Sama ada meluangkan masa dalam percutian ataupun aktiviti-aktiviti di rumah. Memang menjadi kegemaran mama untuk menyediakan juadah istimewa kepada kami sekeluarga apabila mama mempunyai masa terluang. Pelbagai resipi dicuba oleh mama, namun kami tidak pernah kecewa dengan hasil air tangan mama. Meskipun juadah itu kadang kala tidak sempurna, namun kasih sayang dan keikhlasan mama menyerap dalam makanan menyebabkan setiap kunyahan merasakan satu kenikmatan yang sempurna.

Namun hari ini, Mama terbaring lemah di hadapan kami. Kami sedar mungkin inilah saat-saat terakhir kami untuk bersama dengan Mama. Semua tugasan atau tanggungjawab lain ditinggalkan demi menghabiskan masa bersama Mama tercinta. Pagi tadi berlangsungnya Program Sinergi Keluarga anjuran Nisa’ Titiwangsa dibawah kendalian Ustaz Hasrizal. Tungkus lumus Kak Fizah mengadakan persiapan untuk program ini yang juga merupakan salah satu hasrat terakhir Mama. Meskipun dalam keadaan terbaring tanpa ada daya fizikal, namun Mama tidak pernah lupa tanggungjawabnya pada masyarakat. Sering kali Mama meluahkan kerisauannya terhadapanya rakyat di Titiwangsa apabila diziarahi pelawat. Mama khuatir tiada sumbangan yang dapat diberikan kepada rakyat apabila menjelangnya Ramadhan dan Syawal memandangkan wang simpanan dalam bank yang semakin haus. Hanya ratusan ringgit yang tinggal sedangkan bantuan dan sumbangan memerlukan ribuan ringgit untuk disalurkan. Menitis air mata Mama mengenangkan kesusahan rakyat di Titiwangsa walaupun hidup dalam bandar Kuala Lumpur yang sarat dengan kemajuan.

Tidak tertahan melihat keadaan Mama terbaring lemah terutama apabila melihat linangan air mata adik beradik Mama yang setia berada di Hospital. Mama memang watak yang penting dalam keluarga. Mama tidak pernah lokek membantu adik beradiknya yang dalam kesusahan. Apabila pulang ke kampung, ada   sahaja kerja yang hendak dilakukan. Mama akan memastikan setiap tenaga yang ada digunakan untuk menceriakan rumah Opah. Mama tetap dengan kerjanya memberikan perhatian kepada Opah terhadap tahap kesihatannya. Antara kerja lain yang menjadi pilihan utama mama adalah menggubah semula bunga-bunga hiasan dalam rumah. Mama memang pakar dalam hal ini. Ketika majlis-majlis perkahwinan saudara-mara, tak perlu mengupah orang lain untuk menggubah bunga. Hasih gubahan mama memang ada kelasnya yang tersendiri. Di samping itu Mama juga akan memastikan sanak saudara untuk turut serta dalam solat berjemaah, sama ada di rumah ataupun di Masjid. Suara Mama pasti menjadi suara utama di rumah Opah. Mama memang unik.

Semakin ramai sanak saudara yang tiba di Hospital memandangkan keadaan Mama yang semakin tenat. Kunjungan pelawat juga tidak putus-putus untuk menziarahi Mama. Namun tidak semua yang dibenarkan masuk atas keadaan Mama yang tidak mengizinkan. Namun yang pasti, semua yang masuk akan mengalirkan air mata melihat keadaan Mama yang lemah. Satu keadaan yang sangat berbeza dengan Mama yang dikenali ramai. Mama memang terkenal dengan tenaga yang luar biasa. Tercungap-cungap dibuatnya bagi mereka yang tidak biasa dengan rentak Mama. Meskipun dua tahun lebih Mama diduga dengan penyakit Kanser, namun tidak ramai yang tahu. Mama sentiasa siap berkhidmat. Namun penderitaannya bukannya mudah, bukan calang-calang manusia mampu menghadapinya. Mama memng insan luar biasa. Akan tetapi sebak rasanya melihat sahabat-sahabat Mama yang datang menziarahi Mama menceritakan rasa sedih mereka pada kami. Semuanya ibarat masih baru dan segar dalam ingatan.

Menjelang Maghrib, keadaan Mama semakin tidak stabil. Berkerumun kami sekeluarga di sisi Mama membacakan Talkin di telinga mama. Sanak saudara terus mengalunkan surah yasin baik daripada dalam bilik ataupun di luar bilik. Tidak senggup rasanya untuk meninggalkan mama pada saat-saat begini. Tangan mama ku genggam erat. Kadangkala kami membisikkan kata-kata terakhir kami kepada Mama dengan harapan Mama mendengarnya. Namun bacaan talkin tidak pernah putus kedengaran. Meskipun dalam keadaan genting begitu, kami masing-masing mengambil giliran untuk menunaikan tanggungjawab kami kepada Sang Pencipta. Gugur air mata kami merayu agar Allah memberi kesudahan yang terbaik kepada Mama. Sesuangguhnya tiada lagi tempat untuk bergantung selain daripadaNya. Kami yakin Mama merupakan hamba yang dikasihiNya.

Masa semakin berlalu, keadaan Mama semakin kritikal. Tekanan darah, kadar oksigen dan nadi Mama turun sedikit demi sedikit. Kehilangan Mama sudah terbayang menjadikan keadaan menjadi lebih sayu buat kami. Satu demi satu alat perubatan ditanggalkan demi memberikan keselesaan terakhir buat Mama. Aku mengambil kesempatan untuk memberikan kucupan terakhir buat mama. Sungguh lembut dan wangi keadaan Mama ketika itu. Mama kelihtan semakin tenang di saat akhir kehidupannya. Sungguh mudah Mama mengakhiri hidupnya. Tidak tersedar oleh yang lainnya melainkan Babah dan aku yang berada dekat di kepala Mama. Kami menyaksikan lidah Mama bergerak buat kali terakhirnya seakan memberikan persaksian terakhir terhadap Allah. Tiba-tiba petunjuk keadaan Mama naik secara mendadak sedangkan tiada lagi pergerakan kelihatan. Inah membuat pemeriksaan terakhir sebagai kepastian. Runtuh jiwanya apbila pasti Mama sudah tiada lagi. Aku sudah menggelengkan kepala sebagai tanda kepada yang lainnya. Hanya ucapan Inna Lillahi wa Inna Ilaihi Raji’un yang mampu ku ucapkan. Sesungguhnya kami Milik Allah dan kepadaNya jua kami kembali. Sekitar 10.13 malam Mama pergi bertemu dengan Tuhan yang Maha Menyayangi  dengan buku amalan baru yang suci.

Doktor dan jururawat dipanggil sebagai prosedur memberi pengesahan terakhir. Babah memejamkan mata Mama namun tidak tertutup rapat kerana jangkitan pada mata Mama. Namun setelah mendapat pengesahan doktor. Mata mama seakan tutup sendiri, mulutnya juga begitu. Tidak perlu diikat dagu Mama  seperti yang lazim dilakukan. Semuanya seakan berlaku sendiri. Jenazah Mama disiapkan untuk dibawa pergi ke Masjid. Babah dan Abang sibuk menghubungi pihak yang berkaitan untuk memudahkan urusan jenazah Mama. Berita mula disebarkan melaui rangkaian telefon dan juga internet. Orang ramai mula hadir ke hospital untuk menghulurkan bantuan. Semuanya mudah dan lancar. Jenazah Mama dibawa masuk ke dalam van jenazah yang sudah tersedia di luar bilik mayat. Kawasan di situ penuh dengan orang ramai yang datang. Baru ku sedar keadaan di luar basah kerana hujan yang turun seakan menangisi pemergiaan Mama. Hanya rangkap-rangkap doa dapat ku ucapkan apabila menemani Jenazah Mama hingga ke Masjid Akram. Beberapa kereta dan motor turut serta menyertai konvoi kami.

Setibanya kami di Masjid, kami disambut oleh orang ramai yang sudah menunggu ketibaan Jenazah Mama. Seakan menunggu tibanya seorang wira. Jenazah Mama diletakkan dalam dewan serbaguna Masjid sementara menunggu pagi untuk pengurusan seterusnya. Pelbagai lapisan masyarakat hadir tanpa mengira kaum dan agama. Semuanya menangisi pemergian sebutir Permata yang telah banyak berjasa untuk Islam dan masyarakat. Salah seorang daripada hadirin yang berbangsa Tiong Hua memeluk Wan Ju (adik Mama) yang dikatanya mirip Mama sambil menyatakan sumbangan Mama kepadanya dalam keadaan tersedu. Ternyata Mama telah berkhidmat tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama. Buktinya dewan tidak pernah kosng dengan kehadiran orang ramai yang datang mengalunkan Kalimah suci Allah. Aku menemani jenazah Mama hingga waktu pagi.

Pagi Isnin bersamaan 16 Sya’ban, Orang ramai mula memenuhi masjid bagi menziarahi Jenazah Mama. Jenazah Mama dibawa ke bilik mandi untuk diuruskan oleh adik beradik dan keluarga. Maha Suci Allah, tubuh Mama suci dari segala jenis kekotoran. Segalanya mudah, cepat dan lancar. Selesai dimandikan dan dikafankan, Satu lagi petanda ditunjukkan Allah. Mama kelihatan tersenyum. Sungguh menyejukkan mata yang memandang.  Kami anak beranak memberi kucupan terakhir kepada Jenazah Mama sebelum Jenazah dibawa keluar. Bergolaklah kesedihan dalam diri. Biarpun di luar nmpak tenang, tiada siapa tahu kesedihan hati ku ini. Namun kucupan diberikan buat kali terakhir tanda perpisahan seorang anak terhadap bonda yang tercinta. Satu-satunya ratu dalam jiwa. Hatiku pasrah.

Jenazah diletakkan di bahagian belakang masjid bagi memberi laluan kepada orang ramai untuk melihat Mama buat kali terakhir. Ratusan malah mungkin ribuan bergilir memberi penghormatan terakhir buat Mama. Aku mengulang-ulang doa agar menjadi ikutan hadirin yang lalu melihat Jenazah Mama. Berguguran air mata apabila sahabat mama memberi kucupan terakhir buat mama. Berderai jiwa melihat cucu kesayangan Mama, Izz Nu’man memberi ciuman penuh semangat seakan mehu mengejutkan jaddahnya yang disangkanya ‘tidur’. Saat yang menyayat hati semua yang melihat. Tiba masa yang ditetapkan, Jenazah dibawa ke bahagian depan masjid untuk disolatkan. Tuan Guru Dato’ Seri Hadi Awang mengimamkan solat, ribuan Muslim turut serta. Penuh bahagian bawah Masjid dengan hadirin yang hadir.

Selesai solat dan doa, Jenazah dibawa keluar mebelah lautan manusia untuk dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat. Buat pertama kalinya dalam sejarah, jenazah diusung berarak daripada Masjid ke tanah perkuburan. Ribuan hadirin turut serta hingga ke tanah perkuburan. Dikatakan oleh salah seorang yang hadir, ada segumpal awan yang turut mengikuti jenazah seakan memberi payungan kepada mereka yang hadir. Aku, Abang dan Babah berada dalam liang lahad untuk meletakkan Jenazah Mama ke dalam kubur. Sungguh ringan dirasakan saat Jenazah dihulur dan diletakkan dalam lahad. Setelah tanah memenuhi lahad, doa dan tazkirah dibacakan oleh Tuan Guru Dato’ Seri Hadi Awang. Maka berakhirlah sebuah kisah seorang anak, isteri, ibu, adik, kakak, sahabat, doktor, pempimpin, pejuang yang telah pergi menemui Ilahi. Satu kehilangan yang sukar diganti. Kerana Mama setanding namanya. Sebutir Permata yang tak mungkin pudar dalam ingatan.

Bagi pihak keluarga kami memohon maaf atas segala kesalahan Arwah terhadap semua. Andai ada urusan yang masih belum selesai, bolehlah menghubungi pihak keluarga untuk diselesaikan. Kami juga mengucapkan Jutaan Terima Kasih buat sanak saudara, dan sahabat-sahabt sekalian atas bantuan, sokongan dan doa yang diberikan. Semoga Allah membalas jasa kalian.

"Ya Allah. Sesungguhnya kami redha bonda kami Lo'lo' bt Mohd Ghazali di bawah jagaan-Mu. Kerana tiada jagaan lebih baik daripada jagaan Mu. Maka ya Allah, Kami memohon agar kau lipat gandakan kebaikan yang dibuatnya dan hapuskan segala kesalahannya. Kau masukkan lah bonda kami dalam syurgaMu dan jauhkannya daripada azab kubur dan api neraka. Kasihanilah bonda kami sebagaimana dia mengasihani kami. Sesungguhnya Engkau Maha Penyayang lagi Maha Mendengar"