Thursday, July 15, 2010

Tak sabar, dah dekat ni...

Agak-agak kalau dijemput ke satu majlis yang gilang-gemilang ataupun majlis penganugerahan darjat daripada sultan, apa persediaan yang dilakukan sebagai persediaan ke majlis tersebut? Sudah pasti pelbagai persediaan yang akan dipastikan sama ada daripada fizikal, ilmu dan mental.
Persediaan fizikal yang dilakukan terdiri daripada pakaian, kelengkapan, kenderaan dan lain-lain. Tidak lupa juga untuk dipelajari protokol-protokol dalam Istana agar tidak tersalah dalam percakapan dan tingkah laku. Ditambah juga dengan persediaan mental untuk bertemu dengan orang kebesaran dan juga tokoh-tokoh hebat pada hari tersebut.

Pada kebiasaannya manusia begitu bersedia dan waspada dalam menghadapi sesuatu peristiwa atau tugas penting. Segala-galanya dipastikan tersedia dan siap siaga lebih awal. Sekaligus ia melambangkan sikap peribadi kita terhadap sesuatu yang besar dan penting itu.

Sebelum menghadapi peperiksaan kita bertungkus lumus mengulangkaji pelajaran. Sebelum mendirikan rumahtangga kita lemas dalam menyediakan keperluan hidup. Sebelum sesuatu pertandingan sukan setengah orang bersungguh-sungguh membina kekuatan dan kemahiran fizikal.

Namun adakah kita sedar kita sekarang dalam pertengahan bulan Syaaban. Penjam celik kita bakal menyambut kedatangan Ramadhan yang ditunggu-tunggu. Persoalannya adakah timbul perasaan tidak sabar untuk menyambut Ramadhan? Dan yang lebih kritikal adakah kita sedar bahawa Ramadhan itu sudah semakin hampir? Bagaimana pula dengan persediaan kita?

Bukanlah tujuan saya menulis artikel ini untuk menunjuk kabikan saya yang mana saya sedar bahawa saya ini bukanlah siapa sebenarnya. Namun terdetik rasa tanggungjawab dalam hati saya untuk menyedarkan diri ini dan para pembaca tentang kehadiran bulan yang penuh barakah, rahmah dan maghfirah ini.

Jika dibayangkan situasi pertama yang saya ceritakan di atas (majlis penganugerahan darjat), saya tidak nampak bezanya dengan situasi dalam bulan Ramadhan. Ramadhan merupakan satu bulan di mana Allah mengangkat darjat manusia yang benar-benar ikhlas dalam beribadah kepada-Nya. Pelbagai ganjaran, bonus, discount yang ditawarkan dalam bulan tersebut.

Namun apakah persediaan kita? Andaikata kita boleh bersedia dengan terperincinya (fizikal, ilmu dan mental) untuk ke majlis penganugerahan, kenapa untuk menyambut Ramadhan kita hanya bersikap sambil lewa? Di mana kepentingan Ramadhan untuk kita?

Masa yang berlalu tidak mungkin berundur, namun kita masih punya peluang dengan izin Allah untuk membuat persediaan. Yang menjadi persoalannya, apakah persediaan yang perlu kita lakukan. Sedikit perkongsian daripada saya.

1)      Memantapkan keimanan dan tauhid kita kepada Allah.
Hal ini boleh dilakukan dengan bermuhasabah kembali tujuan kita hidup di dunia ini dan tanggungjawab kita. Kita seharusnya menilai kembali kelurusan hati kita dalam beribadah agar keikhlasan kita dalam beribadah dapat dipertingkatkan.

2)      Mempersediakan diri dengan ilmu dan panduan ibadah serta puasa yang sahih dan kaedah menjalankan ibadah secara sahih.
Adalah amat penting untuk kita memastikan ibadah yang kita lakukan dilaksanakan berdasarkan ajaran Rasulullah. Seperti mana kita mahu masuk ke Istana sudah pasti kita akan mempelajari selok-belok protokol istana. Begitu juga kita harus mempelajari selok-belok ibadah dalam bulan Ramadhan.
Andai untuk mempelajari ilmu Istana kita dapatkan daripada sumber yang boleh dipercayai, kita harus juga mendalami ilmu berkenaan bulan Ramadhan daripada sumber yang sahih. Mulakan pembacaan dari sumber-sumber yang diyakini dan rajinkan diri bagi menghadiri kuliah-kuliah agama bagi memantapkan lagi ilmu kita.

3)      Persediaan fizikal bagi menjamin kekuatan untuk beribadah.
Sekiranya mahu menyertai pertandingan sukan bagi merebut hadiah yang lumayan, kita sanggup bertungkus-lumus melakukan persediaan rapi. Kita harus juga mempersiapkan diri kita dengan rapi agar kita boleh beribadah dengan semangatnya demi merebut ganjaran yang ditawarkan oleh Allah.

4)      Jika anda gagal merancang, maka anda merancang untuk gagal.
Istilah ini sering diguna pakai dalam persediaan kita untuk berjaya dalam peperiksaan. Namun penggunaan istilah ini sebenarnya sesuai untuk setiap perkara dalam hidup kita. Oleh itu, bagi menghadapi bulan Ramadhan seharusnya kita mempersiapkan jadual lengkap mengenai aktiviti yang ingin kita jalankan sepanjang bulan Ramadhan.

Kegagalan kita untuk merancang aktiviti kita menyebabkan kita mempunyai masa-masa kosong yang akhirnya kita gunakan untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Di samping persediaan di atas, banyak lagi persediaan yang harus dilakukan yang bagi menghadapi Ramadhan seperti memperbanyakkan amaln sunat dan mengurangkan perkara maksiat dalam aktiviti harian. Perkara ini penting agal kita btidak berasa janggal untuk melakukannya dalam bulan Ramadhan nanti.

Sepertimana diketahui umum, Ramadhan sering kali diibaratkan seperti ‘universiti’ bagi Muslim. Andai untuk memasuki Universiti dalam kata sebenar kita melakukan persedian yang pelbagai, adakah untuk memasuki Universiti Ramadhan persediaan kita sekadar ‘sempoi’.

Satu lagi perkara yang menjadi kelaziman bagi masyarakat kita ialah membuat persediaan rapi bagi menyambut Syawwal. Saya yakin sudah ada di antara kita yang sudah membuat persediaan untuk menyambut hari raya. Saya tidaklah menghalang persediaan yang dilakukan, namun harus kita pastikan perncangan untuk Ramadhan melebihi persediaan kita bagi menyambut Syawwal.

Sementara masih ada masa untuk kita melakukan persediaan, mari sama-sama kita perbaiki perancangan kita dan mempersiapkan diri kita bagi menjalani bulan Ramadhan. Ayuh teman sekalian!

0 comments: