Showing posts with label Sudut Pandang. Show all posts
Showing posts with label Sudut Pandang. Show all posts

Saturday, September 17, 2011

Menyingkap Sejarah Kemerdekaan

Malaysia telah digemparkan dengan perbincangan yang hangat menginai dua istilah yang selama ini tidak pernah dibahaskan iaitu mengenai kemerdekaan dan penjajahan. Polemik ini tercetus apabila salah seorang ahli politik yang agak lantang, Mat Sabu mencetuskan persoalan mengenai status seorang lelaki yang bernama Mat Indera yang dikatakan seorang hero disebalik perjuangan kemerdekaan Negara. Namun bukanlah Mat Indera yang menjadi fokus penulisan saya pada kali ini.

Perbincangan kali ini lebih tertumpu kepada Sejarah kemerdekaan Malaysia. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka telah mendifinasikan Sejarah sebagai asal-usul, keturunan, salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau, kisah, riwayat, tambo, tawarikh dan kajian atau pengetahuan mengenai peristiwa yang telah berlaku. Manakala merdeka ditakrifkan sebagai sebagai (1) bebas daripada penjajahan, kurungan dan naungan; (2) lepas daripada tebusan dan tuntutan; (3) berdiri sendiri, tidak bergantung pada yang lain.

Al-Qur’an, Sirah dan Sultan Muhammad Al-Fateh

Antara kandungan utama Al-qur’an ialah menganai peristiwa-peristiwa yang telah berlaku sama ada di zaman Nabi Muhammad s.a.w mahupun sebelum kedatangan baginda. Semua peristiwa ini diceritakan kepada manusia agar manusia mengambil pengajaran terhadap apa yang telah berlaku kepada umat-umat sebelum mereka.

هَذَا بَيَانٌ لِّلنَّاسِ وَهُدًى وَمَوْعِظَةٌ لِّلْمُتَّقِينَ

(Al quran) ini adalah penerangan bagi seluruh manusia, dan petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa (Ali Imran:138)

Sultan Muhammad Al-Fateh merupakan contoh yang terbaik bagi menggambarkan peri pentingnya Sejarah itu diambil sebagai pengajaran. Beliau telah mengkaji setiap kegagalam dalam 11 kali cubaan menakluki Kota Konstantinopel sebelum beliau. Berdasarkan kajian-kajian inilah beliau merangka strategi untuk menawan koinstantinopel yang merangkumi aspek politik, ketenteraan, cuaca, geografi bumi, spiritual dan pelbagai faktor lagi. Hasilnya Kota Konstantinopel telah berjaya ditakluki pada bulan Mei 1453M.


Dijajah atau Dinaungi

Isu kemerdekaan ini semakin hangat dibincangkan apabila jurucakap Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Zainal Kling dalam sidang media berkata bahawa Tanah Melayu tidak pernah terjajah, sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British. Katanya, Tanah Melayu hanya terjajah selama dua tahun sewaktu pemerintah Malayan Union pada awal 1946 hingga akhir 1947 dan pada zaman penjajahan Jepun.

Hal ini sangat mengelirukan rakyat apabila seorang professor yang pakar dalam bidang sejarah tiba-tiba mengatakan bahawa Tanah melayu tidak dijajah sedangkan saban tahun kita meraikan sambutan kemerdekaan Negara. Tambahan pula kita telah diajar semenjak di bangku sekolah lagi bahawa Tanah Melayu pernah dijajah oleh British. Apakah benar kita hanya dinaungi dan bukannya dijajah? Ataupun ianya hanyalah perbezaan daripada segi istilah sedangkan hakikatnya ianya hanya membawa maksud yang sama.

Perbezaan Istilah

Pelbagai istilah dengan pelbagai maksud telah digunakan oleh British ketika pendudukannya di tanah asing. Istilah-istilah yang digunakan seperti:
 Tanah taklukan (dominions) – Australia
Tanah jajahan (crown colony) - Negeri-negeri Selat (Gabenor/Resident)
Tanah lindungan (protectorates) – Negeri-negeri bersekutu (Resident)
Kawasan yang diberi mandat (mandates) – Palestin
Lain-lain – Negeri-negeri tidak Bersekutu (Advisor)

Walau apa sekalipun istilah yang digunakan bagi menunjukkan pemerintahan British terhadap sesuatu kawasan dibawahnya, yang penting adalah kesan atau impak kedatangan British terhadap pentadbiran kawasan tersebut. Apa bezanya gabenor, residen ataupun penasihat jika apa sahaja kata-kata ataupun arahan British mesti dilaksanakan.

Kesilapan Belanda

Belanda telah melakukan kesilapan yang amat besar apabila meruntuhkan sama sekali sistem beraja di Indonesia apabila mereka menakluki Indonesia. Hal ini menyebabkan mereka mendapat tentangan yang begitu hebat di Indonesia.

Berbeza pula dengan British yang terlebih dahulu mendalami hati budi serta pemikiran orang Melayu sebelum menduduki Tanah melayu. British melihat bahawa kesilapan yang paling besar adalah mengganggu-gugat kedudukan raja-raja (Pantang Melayu derhaka pada sultan). Lalu mereka menekan raja-raja untuk tunduk kepada mereka tanpa mengambil alih kedudukan raja-raja di mata rakyat. Hal ini menyebabkan kurangnya penentangan kepada British bagi mengelakkan berlakunya penderhakaan terhadap raja-raja.

Pelbagai perjanjian dilakuakan dengan raja-raja bagi memastikan setiap arahan british dilaksanakan oleh raja-raja contohnya perjanjian British dengan Sultan Muhammad IV yang salah satu isi kandungannya mewajibkan Sultan melaksanakan semua nasihat yang diberi oleh British. Namun jika kita difikirkan semula, amatlah pelik apbila setiap nasihat ‘wajib’ dilaksanakan sedangkan ianya merupakan sebuah nasihat dan bukannya arahan.

 Disebalik Penentangan Tok Janggut

Apakah benar penentangan Tok janggut terhadap british didasari oleh tindakan british yang memungut cukai? Apakah disebabkan keengganan seorang rakyat jelata untuk membayar cukai menyebabkan mayatnya digantung selama 4 hari di depan istana? Namun inilah fakta yang boleh didapati dalam buku teks sejarah sekolah.

Hakikatnya penentangan Tok janggut dilakukan selepas Kadi Besar Turki di Istanbul mengisytiharkan perang kepada semua penjajah termasuklah British. Disebabkan gentarnya British terhadap tiupan semangat jihad dikalangan rakyat maka tindakan ini diambil harus diambil bagi menakutkan rakyat. Selain daripada itu british juga telah menawarkan 500 pound (nilainya ibarat puluhan ribu ringgit zaman sekarang) pada sesiapa yang dapat menangkap Tok Janggut hidup walau mati. Tawaran ini menarik minat sekolompok rakyat yang akhirnya melemahkan penentangan terhadap British.

Namun agak menghairankan mengapa seruan Kadi Besar Turki ini kurang mendapat sambutan di Kelantan yang terkenal dengan jolokan serambi Mekah. Sebenarnya ada beberapa kejadian yang menyebabkan seruan jihad tidak bertiup kencang.

Pertamanya, British telah mengeluarkan arahan pada Sultan untuk tidak menyokong seruan Kadi Besar Turki itu. Lalu DYMM sultan telah bertitah bahawasanya rakyat tidak boleh member sokongan kepada Kerajaan Uthmaniah. Mana-mana pihak yang menunjukkan kecenderungan akan ditangkap dan dihukum. Baginda juga mengarahkan agar didoakan kemenangan British terhadap Kerajaan Uthmaniah.

Keduanya, British telah mewar-warkan propaganda jahat terhadap kerajaan Uthmaniah. Disebabkan Kerajaan Uthmaniah telah bersekutu dengan Jerman menentang British, maka British telah membuat propaganda jahat yang menyatakan kononnya Jerman bakal menakluki Mekah. Hal ini menyebabkan ramai yang terpengaruh mendoakan kemenangan British. (Seakan-akan yang berlaku sekarang).

Gerakan Menuntut Kemerdekaan

Kebangkitan menuntut kemerdekaan bukanlah bermula setelah UMNO ditubuhkan. Proses ini telah lama diperjuangkan sebelum berkibarnya keris di ruang udara. Proses transformasi minda berlaku dengan penerbitan-penerbitan yang berjaya menggerakkan tuntutan kemerdekaan seperti penerbitan Al-Ikhwan oleh Syeikh Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin. Ianya juga dibantu dengan kebangkitan Kaum Muda yang mendapat semangat untuk memperjuangkan kemerdekan sekembalinya mereka dari timur tengah. Lalu wujudlah gerakan-gerakan yang lebih tersusun seperti API, SEDAR, AWAS dan Hizbul Muslimin.

Perjuangan menentang British juga dipelopori oleh Parti Komunis Malaya (PKM) yang lebih radikal. Fahaman Komunis ini wujud setelah golongan petani berjaya mengalahkan golongan pemodal pada tahun 1917 dan seterusnya menuntut kesama-rataan hak bagi setiap individu. Kebangkitan Komunis ini juga berkembang dengan lebih pesat setelah jatuhnya Khilafah Uthmaniah pada tahun 1924. Slogan kesamarataan yang didokong oleh pihak Komunis ini telah berjaya mendapatkan sokongan ramai pihak terutama golongan bawahan yang sering ditindas oleh golongan kapitalis.

Hubungan Golongan Berhaluan Kiri dengan PKM

Apabila darurat diumukan pada tahun 1948, ramai individu daripada kumpulan yang dikatakan berhaluan kiri ini lari ke hutan. Hal ini berlaku disebabkan beberapa perkara;-

1)         Semua organisasi yang dirasakan tidak selari dengan British telah diharamkan sama ada ianya berbentuk kesatuan sekerja, organisasi masyarakat atau politik ataupun penerbitan.
2)         Lebih seribu ulama’ ditangkap.
3)         Ganjaran yang amat lumayan agar tertangkapnya individu-individu tertentu.

Lalu tertubuhnya regimen ke-10 PKM yang hanya terdiri daripada kaum Melayu sahaja. Namun masih belum dapat dipastikan apakah bentuk kesefahaman yang dibuat oleh golongan ini dengan pihak PKM.

Kesimpulan

Sejarah itu tidak boleh dilihat dalam bentuk selektif dengan tujuan untuk menonjolkan pihak tertentu sahaja tanpa mengambil kira peranan pihak yang lain yang ternyata lebih besar berbanding dengan pihak yang ingin ditonjolkan. Ianya ibarat sebuah gambar yang diubah suai bagi meng’handsome’kan golongan tertentu yang sebenarnya tidaklah se’hansome’ mana dan dalam masa yang sama mengaburkan gambar-gambar individu tertentu. Malah lebih teruk jika sebahagian daripada gambar itu dihilangkan terus.

Ulasan daripada talk Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor.

Thursday, July 7, 2011

Benih yang harus disuburkan..

Adakalanya terasa kagum dengan sifat serta perwatakan orang belum Islam. Terasa diri amat jauh kalau hendak dibandingkan dengan mereka. Sedangkan sepatutnya sebagai Umat Islam, kitalah yang dikatakan sebaik-baik umat. Namun kita dapat melihat orang belum Islam lebih banyak mengamalkan Islam daripada segi kehidupan berbanding dengan orang Islam sendiri. Sehinggakan ada dalam kalangan orang yang berhijarah kepada Islam mengatajkan “Mujur aku menemui Islam sebelum berjumpa dengan orang Islam. Jikalau aku menemui orang Islam dahulu, belum tentu aku akan tertarik dengan agama yang indah ini”. Terbukti bahawa Islam yang dianuti oleh rata-rata orang Islam hanyalah sekadar ritual semata-mata bahkan lebih teruk jika ianya sekadar mengisi status agama penganut tersebut.

Sungguh banyak yang boleh diceritakan mengenai kebaikan yang ditunjukkan oleh mereka yang belum islam dan ianya meliputi pelbagai sudut sama ada daripada segi kerajinan, kebersihan, kejujuran, disiplin, murah hati dan banyak lagi. Tentu kalian banyak mendengar cerita-cerita tentang ini.

Satu yang jelas boleh dijadikan perbandingan ialah bagaimana reaksi masyarakat Jepun berbanding masyarakat Aceh selepas ditimpa badai Tsunami. Mereka begitu berdisiplin menunggu bantuan bahkan segala kesulitan dan kesenangan dikongsi bersama. Kita pernah mendengar bagaimana seorang budak yang baru sahaja menerima makanan yakni sebungkus roti, telah berkongsi roti tersebut dengan mereka yang masih dalam barisan menunggu giliran mereka untuk mendapatkan makanan sedangkan dia juga dalam keadaaan yang lapar. Bukan setakat itu, kita juga mendengar mengenai kedai-kedai di sana yang langsung tidak menjadi mangsa ropakan ataupun kecurian.

Namun situasi amat berbeza boleh dilihat di Aceh. Keadaan sangat tidak teratur bahkan rumah-rumah dan kedai-kedai menjadi tumpuan para pencuri yang mengambil kesempatan ketiadaan penghuni dalam bangunan. Bahkan ada mayat yang kehilangan anggota akibat dipotong untuk mendapatkan barangan kemas. Satu sahaja persamaan yang boleh dilihat, bantuan yang datang daripada pertubuhan bukan Islam lebih pantas tiba berbanding dengan bantuan daripada Orang Islam.

Mengapa agaknya ini terjadi sedangkan dalam Islam kita dianjurkan untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan serta lain-lain amalan serta sifat yang mulia. Ini kerana kita sebagai umat Islam tidak serius mengamalkan ajaran Islam. Ianya ibarat sebuah benih yang baik, namun tidak disuburkan serta dijaga yang baik dan akhirnya mengeluarkan pokok yang rosak. Berbeza dengan mereka yang belum Islam. Mereka ibarat benih yang tidak sempurna, namun disuburkan serta dijaga dengan nilai-nilai yang baik hingga menjadikannya pokok yang baik namun tidak sempurna.

Saya mengatakn ianya tidak sempurna kerana ianya berasaskan sesuatu yang bersifatkan sementara dan berkepentingan. Dilakukan sama ada untuk mendapatkan balasan dunia ataupun demi memuaskan hati sendiri. Akan tetapi semua ini terhad dan tidak berkekalan. Sebagai contoh seorang jurujual diminta senyum bagi melariskan produk ataupun seseorang itu membuat kebaikan demi dipuji ataupun dihargai. Namun apakah aka nada senyuman jika jualan tetap tidak memberansangkan ataupun adanya kebikan jika yang diterima adalah cemuhan dan penghinaan. Tidak mungkin sesuatu itu bias berkekalan andai ianya berasaskan sesuatu yang sementara.

Berbeza sekiranya kita bandingkan dengan peribadi Islam sejati. Kita mengetahui bagaimana Rasulullah tetap menyuapkan makanan dengan penuh kasih sayang kepada seorang perempuan yahudi sedangkan baginda sendiri dicemuh oleh perempuan tersebut. Ini semua dilakukan kerana atas dasar cinta baginda kepada sesuatu yang kekal sempurna yakni Allah s.wt. Ianya bukan bersifat sementara dan tidak mengharakpkan kebaikan demi kepentingan sendiri.

Banyak lagi sejarah yang boleh kita soroti seperti kisah Ikrimah yang cedera parah dan kehausan. Namun apabila ditawarkan air kepadanya, beliau mendahulukan sahabat yang lain sedangakn beliau juga mengalami rasa haus yang sama. Namun ketika mahu diberi minum sahabat itu terdengar rintihan sahabat yang lain dan mengisyaratkan untuk diberikan kepada sahabat itu. Sehingga ketiga-tiganya meninggal dunia dalam keadaan mengutamakan saudaranya yang lain. Inilah akhlak Islam sebenarnya dan ianya jauh lebih hebat berbanding kisah budak di Jepun itu.

Hal ini diibarakan dengan sebuah benih yang baik serta disuburkan serta dijaga dengan baik sehinggakan melahirkan pokok yang terbaik. Maka marilah kita suburkan benih-benih kebaikan dalam diri kita dan peluang itu lebih baik memandangkan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Saturday, March 19, 2011

TIPS MENGELAK PERSENGKETAAN

Penceramah: ‘Aa Gym
Diolah oleh: Kebahagiaan

1) Memahami bahawa tidak ada salahnya berbeza.

Tidak seharusnya berlakunya persengketaan apabila manusia itu berbeza. Hal ini kerana manusia memang diciptakan dalam keadaan tidak sama yakni berbeza.

“Wahai manusia Kami ciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan kami jadikan kamu daripada perlbagai bangsa dan puak agar kamu saling berkenal-kenalan….” (Al-Hujurat 13)

Bukannya Allah tidak mampu menjadikan semua manusia ini serupa namun Allah itu Maha Bijaksana. Allah tau bahawa dunia ini pasti tidak menarik jika manusia semuanya sama. Bayangkan kalau semua orang di dunia ini mempunyai rupa yang sama dengan anda, sifat yang sama dengan anda. Sudah pasti kehidupan ini sungguh membosankan.

Manusia dijadikan berbeza agar boleh saling mengenal, saling berbincang, berbahas, bertiukar-tukar pandangan dan sebagainya. Kalau semua orang sama sahaja, tidak perlulah adanya mesyuarat, perlunya belajar,mengenali antara satu sama lain dan sebagainya. Lalu apa yang ingin kita lakukan di dunia ini?

Sedar ataupun tidak, kita ada di dunia inipun atas sebab perbezaan. Mungkinkah kita dilahirkan jika orang tua kita keduanya sama?

Tambahan pula perbezaan inilah yang menjadikan banyak perkara dalam dunia ini dianggap cantik, menarik, unik dan sebagainya. Cuba bayangkan andai muzik dimainkan dengan hanya satu nada. Saya kurang pasti ianya boleh dikategorikan sebagai muzik atau ianya hanyalah sebuah bunyi. Namun perbezaan pada bunyi itulah yang menghasilkan pelbagai lagu dan irama yang mengasyikkan.

2) Mengelakkan sikap suka menonjolkan diri

Sebuah bangunan terbentuk daripada pelbagai bahan, cuba bayangkan andai salah satu daripada baha tersebut ingin menonjolkan diri. Contohnya air tiba-tiba mengatakan bahawa kewujudannya tidak diketahui. Lalu ia keluar daripada gabungan tersebut. Apakah yang bakal berlaku? Sudah pasti bangunan itu akan runtuh.

Analoginya yang sama berlaku dalam sesebuah masyarakat ataupun kumpulan. Andai ahli dalam kumpulan itu saling berlumba-lumba untuk menonjolkan diri, maka akan berlakulah kejadian saling menjatuhkan antara satu sama lain. Mahu bersaing akulah yang paling baik, paling rajin, paling pandai, paling dermawan dan sebagainya. Sudahlah ianya menjadikan perbuatan tersebut tidak lagi mempunyai nilai keikhlasan, malah menimbulkan kebencian daripada orang sekeliling.

Kenapa harus menonjolkan diri? Adakah kita mahu dipuji? Layakkan kita dipuji? Sesungguhnya pujian itu hanya layak keatasNya kerana Dia telah menyembunyikan aib dan kelemahan kita. Bayangkan andai semua aib dan kelemahan kita dibuka, agak-agaknya adakah kita bakal menerima pujian? Atau kita hanya akan menerima cacian?

Sebuah kisah mengenai seorang pemuda yang baru sahaja membeli kasut baru yang paling bergaya pada zaman tersebut dan dia amat bangga dengan kasutnya. Lalu dia ditegur oleh sahabatnya, “Kenapa tidak memakai kasut di kaki?”. Lalu kehairananlah pemuda tersebut dan dia berkata, “Tidakkah kau nampak bahawa aku memakai selipar di kaki ku?”. Lalu sahabatnya menyoal, “Andai aku katakana bahawa aku ada kasut yang lebih cantik daripada milik kau. Hendakkah kau percaya”. “Mana mungkin ada kasut yang lebih cantik dan bergaya daripada kasut ku ini. Jika ada, tunjukkan kepada ku. Nescaya aku akan membeli kasut yang lebih baik daripada kasut itu” balas pemuda itu. Sahabatnya bertanya lagi “Apakah yang akan berlaku jika kasut mu hilang?”. “Sudah pastilah aku akan marah”. Jawab pemuda tersebut.

Sahabatnya tersenyum, lalu berkata. “Tepatlah apa yang aku katakan tadi bahawa kau tidak memakai kasut di kaki, tapi kau memakainya di hati’. Tercengan pemuda tersebut lalu ia berkata, “Mana mungkin kasut boleh dipakai di hati”. Sahabat tersebut menerangkan “Apabila kasut mu yang paling cantik dan bergaya, maka kau sudah tinggi hati. Apabila ada yang lebih baik, kau sudah iri hati. Dan apabila kasut mu hilang, kau bakal sakit hati. Maka benarlah bahawa engkau memakai kasut di hati”

 Oleh itu janganlah kita suka menonjolkan diri dan meminta untuk dipuji. Belajarlah menjadi seperti jantung. Kerjanya tidak berhenti walau sedetikpun. Namun ia tidak pernah menonjolkan diri.

3) Buangkan sikap meremehkan orang lain

Apakah ada satu kejadian atau benda di dunia ini yang tidak bermanfaat. Andai sekecil-kecil atom pun bermanfaat. Andai di dunia ini tiada paku, apakah mungkin tertegaknya pelbagai binaan dan benda?

Tidak layak seseorang manusi merendah-rendahkan manusia lain kerana kejadian kita semuanya bergantung antara satu sama lain. Apakah mungkin seorang pemimpin itu menjadi pemimpin jika tiada orang dipimpinnya? Apakah mungkin adanya guru jika tiada muridnya? Apakah mungkin adanya ibu jika tiada anaknya? Apakah mungkin adanya penulis jika tiada pembacanya?

Seharusnya kita mencontohi Rasulullah s.a.w yang sentiasa member perhatian penuh apabila bercakap dengan seseorang. Baginda tidak pernah hanya memalingkan kepala ketika bercakap. Baginda akan memusingkan seluruh badan baginda agar berhadapan dengan orang tersebut. Selain itu bagindalah orang yang paling cepat memberikan salam dan baginda tidak akan melepaskan tangan baginda ketika berjabat selagi pihak yang satu lagi tidak menarik tangannya. Hal ini menyebabkan setiap insane yang bertemu dengan Rasulullah pasti merasa satu penghormatan apabila bertemu dengan baginda.

Janganlah menyangka bahawa diri kita lebih baik daripada orang lain malah merendah-rendahkan pula orang lain. Sesungguhnya seburuk-buruk perkataan adalah perkataan yang mengangkat diri sendiri malah menjatuhkan orang lain.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain, boleh jadi mereka (yang diperolokkan) lebih baik daripada mereka(yang mengolok-olokkan), dan jangan pula perempuan-perempuan(memperolok-olokkan) perempuan lain, boleh jadi perempuan yang (diperolokkan) itu lebih baik daripada perempuan (yang mengolokkan), janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelar-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk(fasik) setelah beriman. Dan barangsiapa tidak bertaubat maka mereka itulah orang-orang yang zalim”
( Al-Hujurat:11)

Ketahuilah orang yang sentiasa merasa lebih hebat dan merendah-rendahkan orang lain itu hanya ibarat manusia diatas menara. Merasakan semua manusia dibawahnya dan merasa hebat di atas. Sedangkan ia tidak mengetahui sesungguhnya dia hanyalah terlampau kecil pada pandangan mereka yang di bawah.

wAllahu a’lam

Saturday, February 19, 2011

Kenapa harus berperasangka ?

Alangkah indahnya melihat persaudaraan yang ditunjukkan oleh para sahabat ketika berlakunya peristiwa hijrah. Melihat bagaimana kaum Aus dn Khazraj boleh melupakan sengketa lama atas dasar aqidah yang satu. Ditambah pula dengan kesediaan kaum Ansar menerima saudara mereka daripada kalangan Muhajirin. Penuh dengan kasih sayang dan keikhlasan.

Baru-baru ini dunia digemparkan pula dengan kebangkitan umat Islam. Bermula dengan kebangkitan di Tunisia, kemudian diikuti oleh mesir dan negara-negara lain. Inilah buktinya pentingnya perpaduan ummah. Lihatlah kuasa penyatuan ini yang bisa meruntuhkan kerajaan kuku besi. Segala kesulitan, cabaran, dugaan tidak sedikit pun melemahkan mereka. Bahkan mereka menjadi semakin kuat dan menggerunkan.

Namun kadang-kadang kita terlupa akan kepentingan penyatuan ini. Perbezaan antara kita lebih suka dilihat dan diketengahkan berbanding dengan persamaan yang ada. Terdapat banyak golongan yang terlibat dalam usaha menyebarkan da'wah di atas muka bumi ini. Saya yakin dan percaya setiap gerakan ini perlu dan setiapnya memberi impak yang tersendiri dalam gerakan da'wah. Oleh itu amat penting untuk tidak memperlecehkan mana-mana golongan yang ada.

Kadang-kadang kita tidak sedar tindakan kita itu seakan meremehkan golongan yang lain. Seakan-akan menunjukkan kitalah pejuang yang sebenar. Kitalah yang paling Ikhlas dalam memperjuangkan syariat Allah ini. Sering kali kita mendengar keluhan-keluhan sahabat kita tentang sahabat yang lain, sedangkan keduanya berjuang atas tujuan yang sama yakni mengangkat agama Islam ke taham yang paling tinggi.

Amat mudah kepada kita untuk melontarkan kata-kata untuk mengatakan kelemahan pihak lain, namun amat berat tulang-tulang kita untuk membantu mereka. Mudah sahaja jawapan kita, ‘saya ada tugas saya sendiri” yang bisa diungkapkan dalam pelbagai versi dan cara. Apakah mungkin Islam itu tertegak tanpa ada usaha bantu membantu antara satu sama lain. Kita sanggup bergadai apa sahaja bagi membantu sahabat dalam kumpulan yang sama, namun kita tak sanggup pula untuk membantu mereka yang berada dalam kumpulan yang lain.

Adakah membantu mereka dalam kumpulan yang berbeza namun mempunyai matlamat yang sama itu tidak perlu? Adakah mereka bukan saudara kita? Sering kali kita dengar ceramah maupun tazkirah bahawa “Tidak beriman seseorang kamu selagi dia tidak menyintai saudaranya seperti mana ia menyintai dirinya sediri” (hadith). Adakah hadith ini terbatas hanya dalam kumpulan kita?

Bahkan apabila golongan yang satu lagi melakukan sesuatu yang salah, kitalah orang yang pertama yang akan menghentamnya. Kadangkala apa yang kita sangkakan itu tidak benar. Sedap sahaja kita memberi pendapat dan ‘fatwa’ tanpa melakukan selidik dahulu. “Aku dah boleh tau apa yang mereka nak buat”, “Aku kenal sangat lah derang ni”, begitu dan begini tanpa usul periksa. Jangan disamakan setiap orang berbeza. Bukankah kita diajar dalam surah al-hujurat untuk menyelidik dahulu fakta sebelum kita mengambil apa-apa tindakan.

Mungkin mereka ada juga melakukan kesilapan. Itulah tugas kita sesama Muslim untuk menegur antara satu sama lain. Ini tidak, hanya berani berkata dalam kalangan kumpulan kita. Mengatakan keburukan mereka di belakang mereka. Adakah ianya bukan termasuk dalam mengumpat? Sanggupkah kita memakan daging sahabat kita di akhirat kelak? Jika mereka salah, perbetulkan mereka. Jangan pandai ‘mengomen’ di belakang. Bincanglah dengan cara yang penuh hikmah dan berilmu. Jangan cakap berdegar-degar tanpa fakta.


Sangat benar apa yang dikatakan oleh senior kita. Dalam ummat Islam sekarang telah hilang dua permata berharga. “Kasih saying dan Hikmah”.

Thursday, July 15, 2010

Tak sabar, dah dekat ni...

Agak-agak kalau dijemput ke satu majlis yang gilang-gemilang ataupun majlis penganugerahan darjat daripada sultan, apa persediaan yang dilakukan sebagai persediaan ke majlis tersebut? Sudah pasti pelbagai persediaan yang akan dipastikan sama ada daripada fizikal, ilmu dan mental.
Persediaan fizikal yang dilakukan terdiri daripada pakaian, kelengkapan, kenderaan dan lain-lain. Tidak lupa juga untuk dipelajari protokol-protokol dalam Istana agar tidak tersalah dalam percakapan dan tingkah laku. Ditambah juga dengan persediaan mental untuk bertemu dengan orang kebesaran dan juga tokoh-tokoh hebat pada hari tersebut.

Pada kebiasaannya manusia begitu bersedia dan waspada dalam menghadapi sesuatu peristiwa atau tugas penting. Segala-galanya dipastikan tersedia dan siap siaga lebih awal. Sekaligus ia melambangkan sikap peribadi kita terhadap sesuatu yang besar dan penting itu.

Sebelum menghadapi peperiksaan kita bertungkus lumus mengulangkaji pelajaran. Sebelum mendirikan rumahtangga kita lemas dalam menyediakan keperluan hidup. Sebelum sesuatu pertandingan sukan setengah orang bersungguh-sungguh membina kekuatan dan kemahiran fizikal.

Namun adakah kita sedar kita sekarang dalam pertengahan bulan Syaaban. Penjam celik kita bakal menyambut kedatangan Ramadhan yang ditunggu-tunggu. Persoalannya adakah timbul perasaan tidak sabar untuk menyambut Ramadhan? Dan yang lebih kritikal adakah kita sedar bahawa Ramadhan itu sudah semakin hampir? Bagaimana pula dengan persediaan kita?

Bukanlah tujuan saya menulis artikel ini untuk menunjuk kabikan saya yang mana saya sedar bahawa saya ini bukanlah siapa sebenarnya. Namun terdetik rasa tanggungjawab dalam hati saya untuk menyedarkan diri ini dan para pembaca tentang kehadiran bulan yang penuh barakah, rahmah dan maghfirah ini.

Jika dibayangkan situasi pertama yang saya ceritakan di atas (majlis penganugerahan darjat), saya tidak nampak bezanya dengan situasi dalam bulan Ramadhan. Ramadhan merupakan satu bulan di mana Allah mengangkat darjat manusia yang benar-benar ikhlas dalam beribadah kepada-Nya. Pelbagai ganjaran, bonus, discount yang ditawarkan dalam bulan tersebut.

Namun apakah persediaan kita? Andaikata kita boleh bersedia dengan terperincinya (fizikal, ilmu dan mental) untuk ke majlis penganugerahan, kenapa untuk menyambut Ramadhan kita hanya bersikap sambil lewa? Di mana kepentingan Ramadhan untuk kita?

Masa yang berlalu tidak mungkin berundur, namun kita masih punya peluang dengan izin Allah untuk membuat persediaan. Yang menjadi persoalannya, apakah persediaan yang perlu kita lakukan. Sedikit perkongsian daripada saya.

1)      Memantapkan keimanan dan tauhid kita kepada Allah.
Hal ini boleh dilakukan dengan bermuhasabah kembali tujuan kita hidup di dunia ini dan tanggungjawab kita. Kita seharusnya menilai kembali kelurusan hati kita dalam beribadah agar keikhlasan kita dalam beribadah dapat dipertingkatkan.

2)      Mempersediakan diri dengan ilmu dan panduan ibadah serta puasa yang sahih dan kaedah menjalankan ibadah secara sahih.
Adalah amat penting untuk kita memastikan ibadah yang kita lakukan dilaksanakan berdasarkan ajaran Rasulullah. Seperti mana kita mahu masuk ke Istana sudah pasti kita akan mempelajari selok-belok protokol istana. Begitu juga kita harus mempelajari selok-belok ibadah dalam bulan Ramadhan.
Andai untuk mempelajari ilmu Istana kita dapatkan daripada sumber yang boleh dipercayai, kita harus juga mendalami ilmu berkenaan bulan Ramadhan daripada sumber yang sahih. Mulakan pembacaan dari sumber-sumber yang diyakini dan rajinkan diri bagi menghadiri kuliah-kuliah agama bagi memantapkan lagi ilmu kita.

3)      Persediaan fizikal bagi menjamin kekuatan untuk beribadah.
Sekiranya mahu menyertai pertandingan sukan bagi merebut hadiah yang lumayan, kita sanggup bertungkus-lumus melakukan persediaan rapi. Kita harus juga mempersiapkan diri kita dengan rapi agar kita boleh beribadah dengan semangatnya demi merebut ganjaran yang ditawarkan oleh Allah.

4)      Jika anda gagal merancang, maka anda merancang untuk gagal.
Istilah ini sering diguna pakai dalam persediaan kita untuk berjaya dalam peperiksaan. Namun penggunaan istilah ini sebenarnya sesuai untuk setiap perkara dalam hidup kita. Oleh itu, bagi menghadapi bulan Ramadhan seharusnya kita mempersiapkan jadual lengkap mengenai aktiviti yang ingin kita jalankan sepanjang bulan Ramadhan.

Kegagalan kita untuk merancang aktiviti kita menyebabkan kita mempunyai masa-masa kosong yang akhirnya kita gunakan untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Di samping persediaan di atas, banyak lagi persediaan yang harus dilakukan yang bagi menghadapi Ramadhan seperti memperbanyakkan amaln sunat dan mengurangkan perkara maksiat dalam aktiviti harian. Perkara ini penting agal kita btidak berasa janggal untuk melakukannya dalam bulan Ramadhan nanti.

Sepertimana diketahui umum, Ramadhan sering kali diibaratkan seperti ‘universiti’ bagi Muslim. Andai untuk memasuki Universiti dalam kata sebenar kita melakukan persedian yang pelbagai, adakah untuk memasuki Universiti Ramadhan persediaan kita sekadar ‘sempoi’.

Satu lagi perkara yang menjadi kelaziman bagi masyarakat kita ialah membuat persediaan rapi bagi menyambut Syawwal. Saya yakin sudah ada di antara kita yang sudah membuat persediaan untuk menyambut hari raya. Saya tidaklah menghalang persediaan yang dilakukan, namun harus kita pastikan perncangan untuk Ramadhan melebihi persediaan kita bagi menyambut Syawwal.

Sementara masih ada masa untuk kita melakukan persediaan, mari sama-sama kita perbaiki perancangan kita dan mempersiapkan diri kita bagi menjalani bulan Ramadhan. Ayuh teman sekalian!