Thursday, June 3, 2010

Kupasan dan berita terikini: Konvoi LL4G


Setelah lama bumi Gaza di’penjara’, akhirnya muncul satu golongan yg berani untuk tampil memberi bantuan. Tidak sanggup lagi mereka hanya menyatakan rasa simpati terhadap masyarakat di Gaza. Sampai bila kita hanya boleh duduk berdiam diri dalam masa yang sama masyarakat Gaza terus merana. Yang paling mengharukan, bila semua ini akan berakhir? Satu persoalan yang belum ada jawapan yang pasti. Namun saat itu pasti akan hadir. Namun sampai bila masyarakat Gaza harus menunggu.

Ucapan tahniah atas semua yang terlibat dalam misi konvoi talian hayat untuk Gaza (Lifeline4Gaza). Sesungguhnya diri ini amat gembira kerana masih ada manusia yang benar-baner berusaha demi umat Islam di sana. Satu usaha yang tampak mustahil untuk berjaya dan sudah terbukti misi ini tidak “berjaya’ sampai ke gaza.

“We lost in the battle, but we win the war.”

Satu ungkapan yang sangat sesuai untuk menggambarkan hasil daripada perjuangan ini. Meskipun barangan yang dibawa tidak sampai ke Gaza, namun mesej yang dibawa oleh misi ini merentasi setiap pelusuk dunia. Meskipun dunia sudah tahu kekejaman zionist namun mereka hanya membiarkannya kerana mereka beranggapan bahawa mereka (zionist) sedang berhadapan dengan pengganas. Namun apabila misi keamanan ini yang menjadi mangsa, maka terbuktilah bahawa kekejaman zinist ini tidak mengenal siapa mangsa mereka.

Satu kejayaan dilihat daripada misi ini, apabila masyarakat dunia terutama sekali pemimpin-pemimpin utama dunia bangkit menyatakan kekesalan mereka terhadap kejadian ini. Satu siasatan bebas telah dicadangkan kepada PBB bagi menyiasat kejadian ini. Akan tetapi usaha ini tidak sehaluan dengan Amerika yang hanya mahu siasatan dilakukan oleh negara Israel sendiri. Mungkinkal sekali lagi pihak Amerika akan menggunakan kuasa veto mereka bagi melindungi Israel.

Kita juga dapat melihat dengan jelas bahawa hanya kata-kata kesal sahaja yang mampu dinyatakan oleh mereka namun setakat ini, masih belum ada tindakat yang diambil oleh mereka yang kononnya penegak keadilan dan keamanan dunia. Retorik!! Biarlah dunia melihat dan mentafsirkan, siapakah pengganas dan siapa yang berada di sebalik pengganas ini.

Perang Media

Biasanya dunia akan mendapatkan berita-berita terkini daripada media-media barat seperti CNN, BBC dll. Namun kesemua rangkaian berita ini daripada awal lagi tidak memberi liputan yang mendalam mengenai konvoi ini. Lalu muncullah Al-Jazeera sebagai sumber berita utama.

Namun apabila serangan berlaku, barulah CNN dan rangkaian berita yang lain mula memberi tumpuan. Namun adakah berita-berita yang disediakan oleh mereka ini boleh dipercayai memandangkan dari awal lagi mereka sudah berat sebelah dengan tidak menyiarkan berita-berita mengenai konvoi ini.

Kejadian Sebenar

Perkembangan ini saya dapat ketika mendengar siaran di radio ikim. Siaran ini berkumandang setiap hari dalam jam 10 malam di radio Ikim bagi mendapatkan berita terkini mengenai konvoi Lifeline 4 Gaza ini.

Malam semalam DJ bertugas telah menghubungi salah seorang sekretariat haluan palestin bagi mendapatkan berita terikini mengenai sukarelawan Malaysia. Beliau telah mengesahkan bahawa semua sukarelawan telah dibebaskan dan kini berada di Jordon.

Beliau juga memperdengarkan satu rakaman perbualan antara beliau dan Ustaz Norazman yang merupakan ketua romobongan daripada Malaysia. Menurut cerita daripada ustaz tersebut, kejadian ini berlaku pada waktu Subuh. Di mana pada awalnya mereka didatangi oleh beberapa buah bot tentera Israel yang ingin memasuki kapal tersebut. Namun usaha ini tidak berjaya.

Lalu tentera Israel telah menghantar sebuah helikopter dalam rangka untuk mengambil alih kapal ini. Namun sekali lagi usaha mereka tidak berjaya. Pihak tentera datang lagi dengan bot mereka untuk namun sekali lagi usaha ini gagal. Kemudian datang lagi helikopter mereka dan kali ini beberapa komando telah turun ke kapal dan krew kapal telah berjaya menangkap 2 orang komando Israel.

Tiba-tiba datang sebuah lagi helikopter Israel dan kali ini mereka terus menyerang krew kapal tersebut dengan senjata. Pada mulanya mereka menggunakan peluru getah namun ianya hanya seketika sebelum peluru sebenar dimuntahkan daripada senjata mereka. Akibatnya 5 orang telah gugur serta merta di tempat kejadian. Maka bermulalah episode rampasan daripada lanun Israel ini.

Selain daripada itu, wartawan daripada astro Awani juga ada menceritakan detik cemas yang dilalui oleh beliau. Beliau menceritakan detik di mana pihak tentera telah melepaskan tembakan rambang ke arah anggota rombongan hingga menyebabkan dua orang di sebelah kanan dan kiri beliau cedera di bahu dan juga di lengan. Melihat keadaan itu, beliau terus merangkap merentasi banjiran darah dalam usaha menyelamatkan diri daripada kawasan tersebut.

Ustaz Azman juga ada bercerita bahawa mereka dibawa daripada satu lokasi ke satu lokasi lain dan semua ini mengambil masa lebih kurang 24 jam. Menurutnya lagi, kenderaan tersebut dipandu perlahan tanpa diketahui sebabnya dan ada diantara sukarelawan yang ditutup matanya sepanjang perjalanan itu.

Inilah situasi yang dihadapi oleh sukarelawan kita. Namun semua ini hanyalah secebis daripada pangalaman yang telah lama dirasai masyarakat palestin yang sering kali
diserang tanpa sebab oleh puak zalim Zionist ini.

Bantuan

Dengan rampasan kapal konvoi ini, bermaksud semua barangan bantuan untuk Gaza berada di tangan Israel. Mereka berjanji untuk mengahantar sendiri bantuan ini ke Gaza. Sungguh pelik bunyinya. Kalau benarlah bantuan ini dibenarkan untuk dihantar ke Gaza, mengapa konvoi ini harus diserang. Apakah muslihat mereka?

Namun kerajaan Hamas menolah bantuan Israel ini. Mereka mahukan bantuan ini dihantar oleh PBB bukannya Israel. Mereka bertekad bahawa mereka TIDAK MEMERLUKAN ISRAEL untuk hidup.

Lakonan Mesir

Dalam diam juga , kerajaan Mesir telah menunjukkan simpati mereka dengan membuka sempadan Rafah bagi membenarkan bantuan masuk ke Gaza. Wahai mesir, andai daripada dahulu lagi sempadan ini dibuka untuk bantuan masuk ke Gaza, maka tidak perlulah konvoi tersebut melalui perairan berdekatan Israel untuk menghantar bantuan.

Bahkan kami belum lupa tindakan kamu (Mesir) yang tidak membenarkan bantuan masuk ke Gaza ketika mereka diserang pada penguhung 2008 sehingga awal 2009. Kami masih ingat bagaiman berkontena-kontena bantuan yang rosak disebabkan tindakan kamu (Mesir) yang enggan membuka sempadan.

Lebih menyedihkan apabila kamu (Mesir) menanam tembok-tembok di bawah tanah bagi menghalang terowong-terowong hayat penduduk gaza daripada melintasi sempadan. Bukan setakat itu, beberapa bulan lepas kamu (Mesir) juga telah melepaskan gas beracun ke dalam terowong hingga mengorbankan beberapa orang pejuang.

Kamulah pengkhianat, kamulah musuh dalam selimut bagi mereka.

Apakah tindakan kita?

Saya menyeru umat Islam untuk bertindak demi Palestin. Apakah kita hanya memeluk tubuh dan menyatakan simpati? Adakah linangan air mata kita sama harganya dengan darah yang mengalir daripada tubuh mereka?

Banyak yang dapat kita lakukan sebenarnya. Mereka memerlukan kita untuk bersuara, mereka memerlukan doa daripada kita mereka juga perlukan bantuan fizikal daripada kita. Ya, meskipun semua ini hanyalah usaha kecil sahaja, namun ianya merupakan satu usaha daripada kita. Maihkah kita ingat burung yang berusaha memadamkan api ketika nabi Ibrahim cuba dibakar oleh raja Namrud. Seperti inilah usaha kita sekarang. Hanyalah sedikit, namun sekurang-kurangnya kita berusaha.

Amat menyedihkan apabila kita melihat golongan-golongan yang mempunyai ilmu agama, namun mengabaikan seruan Qunut Nazilah di masjid-masjid ataupun di surau-surau. Andai kalau golongan berilmu seperti ini juga mengabaikan Qunut Nazilah ini, apakah yang diharap mereka yang tidak berilmu.

Satu usaha yang paling penting adalah untuk kita, member kesedaran kepada umat Islam di Malaysia ini untuk kembali semula kepada Islam. Ini kerana dengan keadaan kita sekarang, tidak mustahil kita bakal mengalami kemusnahan sama ada ianya adalah akibat tindakan kita sendiri mahupun ianya merupakan satu usaha daripada luar Negara.

Akhir sekali saya berharap semoga usaha yang telah dilakukan ini menjadi satu titik tolah untuk penyatuan umat Islam serta menyemarakkan lagi semangat umat Islam untuk berjuang demi kegemilangan umat Islam pada masa hadapan.


"Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan. Ya Allah, Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh-musuh kami dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka.Ya Allah leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka, pecah belahkan dan kacau bilaukan persatuan mereka, goncangkan pendirian mereka dan hantarkanlah anjing-anjing Mu kepada mereka wahai tuhan yang gagah perkasa wahai tuhan yang penuh raksasa wahai tuhan yang bersifat murka ya Allah. Ya Allah, wahai tuhan yang menurunkan kitab, wahai tuhan yang mengarakkan awan wahai tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab kalahkan mereka! dan menangkan kami ke atas mereka"

0 comments: