Kami tiba di LCCT lebih kurang jam 2.30 pagi. Sesampainya di sana kami terus mencari ruang untuk meletakkan troli-troli barang kami. Kami bersetuju untuk meletakkan barang-barang kami di satu kawasan yang agak lapang. Berdekatan dengan tempat yang kami pilih itu juga terdapat beberapa orang yang sedang tidur bersama dengan barang mereka. Lalu ibu berkata: “OK, yang lelaki tunggu sini, yang perempuan akan berehat di Musolla”. “Mana aci”, getus hatiku. Tetapi itulah sebaiknya. Adalah tidak manis untuk golongan hawa bergelimpangan di kawasan terbuka itu.
Setelah mendapati ada peserta yang secara sukarelanya menjaga barang-barang, aku pun mengangkat kaki untuk meninjau sekitar terminal. Tujuan aku sebenarnya untuk mencari sedikit minuman memandangkan tekakku yang mulai basah. Aku singgah di sebuah kedai serbaneka dalam kawasan terminal. Namun dalam banyak-banyak barang yang dijual tidak ada satu bahan minuman pun yang dijual. Mahu tidak ahu terpaksa aku ke kafeteria LCCT yang terletak berasingan dengan bangunan utama terminal. Namun menjadi masalah pula untuk aku ke sana seorang diri memandangkan aku membawa hamper 3 ribu USD dalam vestku.
Hampir sahaja aku ingin membatalkan niat ku, aku terserempak dengan Safwan, Ikhmal dan Qassim yang turut berjalan di sekitar kawasan itu. Aku mengajak mereka sebagai teman. Akhirnya tercapai juga niatku untuk meneguk sedikit minuman. Setelah puas meninjau setiap gerai di kafeteria, kami pun beredar. Dalam perjalanan terserempak dengan Jali. Rupanya dia sedang kelaparan kerana tidak sempat untuk makan tengahari dan malam. Kami pun berpatah balik ke kafeteria untuk meneman Jali makan. Setelah kenyang makan dan minum air yang di’refill’ berkali-kali kami pun bergerak semula ke terminal utama.
Namun Cecep pula mahu ke kafeteria dan sekali lagi aku yang menjadi teman. Setelah membeli minuman, kami mencari tempat untuk duduk. Ketika meninjau-ninjau tempat duduk yang kosong, Cecep terperasan 2 orang kawan sekolahnya dulu. Kedua-duanya berasal dari Sabah dan sedang mengikuti pengajian di UPSI. Seorang dalam bidang muzik, manakala seorang lagi dalam bidang sains sukan. Segan juga mahu duduk bersama, taku tidak memahami perbualan mereka yang semuanya berasal daripada Sabah. Mujur mereka tidak bersembang dalam bahasa Sabah. Dapat juga aku turut serta dalam perbualan mereka. Sebenarnya mereka berdua baru sahaja kembali daripada Sabah setelah tamat tempoh mengulangkaji (revision period).
Kami mengambil keputusan untuk kembali ke terminal utama setelah waktu mendekati jam 4.30 pagi. Ketika tibanya kami disana, rupanya kaunter telah mula dibuka untuk daftar masuk (check in). Kelihatan orang ramai bergegas ke kaunter untuk check in. Jali menghubungi ibu bagi memaklumkan semua peserta perempuan untuk datang berkumpul. Proses check in tidak mengalami masalah besar. Namun aku dan Umar terpaksa mengikat kotak sambil beratur untuk checek in. ketika itu memang agak kelam kabut sedikit. Namun agak merugikan sedikit kerana masih ada ruang lagi untuk kami membawa labih banyak barang sumbangan.
Setelah semuanya selesai, maka kami bergerak ke musollla untuk solat Subuh. Usai solat kami terus menuju pintu perlepasan. Kami menaiki penerbangan Air Asia AK280. Aku duduk di tempat duduk bernombor 20 B, bersebelahan dengan Umar dan Safwan.
Kami tiba di Siem Riep International Airport pada jam 8.30 pagi (waktu tempatan). Setelah selesai urusan imigresen dan pengambilan bagasi, kami keluar daripada terminal dan disambut oleh Hj Musa Sulaiman. Hj Musa Sulaiman merupakan wakil Mufti Kemboja di Battambang dan Ahli Majlis Syura Mufti. Beliau juga bertindak sebagai ketua bahagian (untuk Muslim) bagi Cambodian People’s Party (Parti pemerintah) di Battambang. Beliau datang menjemput kami bersama dengan 2 orang anak beliau (Faidah & ?) dan menantu beliau (Hj Shukri). Dengan menaiki tiga buah van kami di bawa menyelusuri jalan raya ke Battambang.
Pertama kali aku menjejakkan kaki di bumi Kemboja. Banyak sebenarnya yang ingin aku ketahui tentang Negara ini. Saban kali kita mendengar program-program korban yang diadakan di Kemboja seperti yang dianjurkan oleh Al-Ameen Serve, Amal Malaysia dan pertubuhan-pertubuhan yang lain. Di sepanjang perjalanan pemandangan kiri dan kanan dipenuhi dengan sawah padi yang kian menguning. Ini merupakan pekerjaan utama penduduk di sekitar Battambang. Mengikut Hj Musa, padi yang ditanam di Battambang sahaja sudah mencukupi untuk menampung keperluan penduduk Kemboja keseluruhannya. Membuktikan betapa besarnya kawasan tanaman padi di sana. Mengalahkan jelapang padi di Malaysia. Saya juga dapan melihat lembu-lembu dan kerbau-kerbau yang dibiarkan berkeliaran di sekitar sawah padi. Yang menariknya kebanyakan lembu di sini berwarna putih. Satu fakta yang masih menjadi persoalan dalam diri saya.
Selain itu, kami juga memerhatikan kenderaan yang digunakan di sana. Ada beberapa kenderaan yang menarik perhatian kami. Antaranya sebuah kenderaan yang dibawa oleh motor dan dibelakangnya ada gerabak untuk penumpang dan barang-barang. Lori disana juga dibawa sarat dengan penumpang dan juga barangan, boleh diibaratkan seperti keretapi di India. Namun dalam masa yang sama boleh dilihat kenderaan tradisional seperti kereta lembu yang masih digunakan terutama dikalangan pesawah bagi mengangkut padi yang sudah dituai.
Satu lagi fakta yang menarik di Kemboja ini adalah jalannya yang teramatlah lurus. Jarang sekali kereta harus membelok mengikut keadaan jalan. Andai di Malaysia ini, sudah pasti ianya akan menjadi gelanggang lumba bagi samseng jalanan. Namun peraturan di sana hanya membenarkan kenderaan untuk dipandu tidak melebihi 90 km/j. Mana-mana kenderaan yang melanggar peraturan tersebut akan dikenakan saman sebanyak 5 USD. Satu nilai yang sangat kecil jika dibandingkan dengan bayaran saman di Malaysia. Maka timbullah suara-suara nakal yang bergurau mengenai keadaan tersebut. Antaranya “kalau kat Malaysia macam ni, polis tahan je. Tersenyum lebar je la. Siap boleh cakap, boleh saya bayar untuk esok sekali”.
Perjalanan mengambil masa hampir 3 jam menuju Battambang. Sempat juga aku tersengguk dalam van walaupun dalam keadaan berhimpit. Tibanya kami di rumah Haji Musa di Dam Sebai, Battambang, kami memunggah barang dari kereta ke kawasan rumah Haji Musa. Dapatlah kami melepaskan lelah perjalanan di ruang makan rumah Hj Musa. Lalu kami terus dijamu oleh mereka dengan makanan tengahari.
Sungguh teruja untuk merasakan makanan Kemboja. Untuk tengahari tersebut, kami dihidangkan dengan sup daging dan juga lauk daging yang seakan-akan daging masak asam pedas. Satu permulaan hidangan yang sangat menyelerakan. Rata-ratanya puas menjamah makanan yang dihidangkan terutama sup lembu yang agak unik rasanya.
Setelah kekenyangan, semua bergerak ke tempat penginapan masing masing di mana lelaki akan tidur dalam masjid dan perempuan di bahagian atas rumah Hj Musa. Kebanyakan daripada kami mengambil masa ini untuk melelapkan mata setelah menempuhi perjalanan yang agak lama bermula dengan perjalanan tengah malam daripada UIA hinggalah tiba di Battambang pada waktu tengahari. Namun rehat kami terpaksa dihadkan hanya sampai jam 2.30 petang untuk sesi perbincangan tentang perjalanan program.
Bersambung…
0 comments:
Post a Comment