Tuesday, May 25, 2010

Berkahwin pada usia muda



Ada segelintir masyarakat berpendapat berkahwin pada usia muda merupakan jalan keluar terbaik bagi permasalahan sosial di kalangan anak muda. Mereka berpendapat dengan berkahwin, sesorang itu dapat melahirkan rasa cinta ataupun kehendak fitrah mereka dengan saluran yang halal dan dibenarkan oleh syarak. Hal ini kerana, jika sesorang itu telah memndam rasa terhadap golongan yang bertentangan jantina dengan mereka, seseorang itu pasti akan cuba mencari jalan terbaik bagi meluahkan rasa cintanya kepada pasangan yang diminatinya. Bak kata pepatah arab “Bermula daripada senyuman, terungkai kata-kata, lalu temujanji ditetapkan dan disudahi dengan berada di lembah kemaksiatan”. 

Banyak persoalan yang boleh dibangkitkan berkaitan dengan isu ini. Pertamanya, apakah ertinya cinta dikalangan anak muda sekarang? Adakah cinta itu hanyalah perasaan tertarik dengan seseorang yang lain, suka dengan perwatakannya dan selesa apabila bersamanya? Jika ini yang dimaksudkan dengan cinta, maka semakin ramailah yang perlu dikahwinkan kerana kanak-kanak pun sudah pandai “bercinta”. 

“Minat merupakan perasaan tertarik kepada seseorang, kasih menimbulkan perasaan simpati, sayang membawa perasaan empati serta disulami dengan perasaaan rindu dan rasa diperlukan, cinta adalah hasil campuran kasih & sayang ditambah dengan perasaan bertanggungjawab tersebut” kata-kata yang dipetik daripada dalam hati. 

Pendapat yang bernggapan perkahwinan sebagai penyelesaian yang menghalalkan seseorang untuk melepaskan kehendak dirinya yang juga merupakan satu kehendak fitrah bakal mengundang beberapa masalah pada hemat saya. Ini kerana jika “seks” dijadikan tujuan utama seseorang itu untuk berkahwin, maka setelah mendapatkan kepuasan seks, apakah lagi ertinya perkahwinan pada individu tersebut. Akibatnya berlakulah keruntuhan intitusi rumah tangga kerana jalinan yang dibina atas dasar matlamat jangka pendek dan tidak mempunyai halatuju yang kukuh. Kesannya adalah kepada anak-anak yang turut sama terjejas dengan situasi yang berlaku dalam keluarga mereka. Perbalahan dan pergolakan antara ibu bapa hanya mewujudkan suasana kebencian dalam rumah. Akhirnya ramai anak-anak yang terbiar tanpa bimbingan ini memilih jalan dengan membuat keputusan yang salah demi melarikan diri mereka daripada kemelut yang berlaku di rumah. 

Namun ada juga dikalangan individu yang menjadikan kepuasan nafsu sebagai tunjang perkahwinan mereka, namun tidak mendapatkan sepenuhnya apa yang mereka hajati. Mungkin pada awalnya mereka kelihatan bahagia di awal perkahwinan mereka, bunga-bunga cinta tampak kelihatan dalam hubungan yang terjalin. Akan tetapi keinginan nafsu yang tidak kesampaian menyebabkan golongan ini mula mencari allternatif lain bagi merealisasikan hajat yang tersimpan. Lalu mereka mula mencari pasangan-pasangan lain untuk berlaku curang dan akhirnya menyebabkan kehancuran institusi rumah tangga. 

Justeru apakah ada jalan penyelesaian bagi permasalahan ini. Islam telah menyediakan jalan penyelesaian yang terbaik bagi isu ini. Islam telah menyarankan kepada para penganutnya yang mempunyai hasrat untuk berkahwin namun tidak mampu untuk brtkahwin agar berpuasa. Selain itu mereka harus menyibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti berfaedah agar golongan ini tidak terjebak dengan kegiatan maksiat yang bisa dilakukan secara bersendirian. 

Mungkin sebab-sebab diatas tidak berapa kuat memandangkan ianya tidak terhad untuk mana-mana had umur. Namun secara jelasnya kematangan berfikir dan pandangan kebanyakan manusia berubah selari dengan peningkatan umur mereka. Atas dasar ini, kemungkinan untuk perkara ini terjadi dikalangan mereka yang lebih dewasa adalah lebih kecil berbanding dengan mereka yang masih berada pada usia muda. 

Akan tetapi persoalan mengenai isu kahwin muda ini tidak mempunyai satu ketetapan khusus memandangkan isu ini merupakan isu kontekstual yang bergantung kepada situasi dan keadaan semasa. Namun sebelum mana-mana individu meneruskan hasrat mereka untuk memasuki ambang perkahwinan, maka perkara yang dibincangkan di atas haruslah difikirkan dahulu agar keputusan yang tepat dapat diambil. WAllahu a’lam..

0 comments: